284 JEMAAH HAJI MALAYSIA BERLEPAS, TANDA BERMULA MUSIM HAJI 1447H

SEPANG, 18 April (IKIM) – Seramai 284 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci awal pagi ini, sekali gus menandakan bermulanya musim haji bagi tahun 1447H/2026M.

Kumpulan pertama itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.05 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz pada 7.50 pagi waktu tempatan (Arab Saudi) hari yang sama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, menzahirkan rasa syukur kerana dapat menyantuni dhuyufurrahman yang menjadi kumpulan pertama menunaikan ibadah haji tahun ini.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dan program persediaan telah dilaksanakan bagi memastikan jemaah haji Malaysia benar-benar bersedia, meliputi aspek kefahaman syariat, kesihatan serta pengurusan ibadah.

“Alhamdulillah, tahun ini persiapan jemaah kita berjalan dengan baik dan teratur,” katanya ketika menghadiri majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji di sini, hari ini.

Turut hadir Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Osamah Dakhel R Al-Ahmadi, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli; Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain; serta Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri, memberi tumpuan kepada ibadah serta mendapatkan maklumat daripada sumber sahih seperti Tabung Haji.

Beliau turut menasihatkan jemaah agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih serta mengelakkan perkara yang tidak bersesuaian sepanjang berada di Tanah Suci.

Menurutnya, beliau bersama rombongan dijadual berlepas ke Tanah Suci pada 19 Mei ini bagi lawatan kerja serta menyantuni jemaah haji Malaysia.

Penerbangan terakhir bagi musim haji tahun ini yang melibatkan kira-kira 31,600 jemaah Malaysia dijadualkan pada 20 Mei.

WhatsApp
Scroll to Top