MPC LANCAR ANUGERAH MEDIA ADI, IKTIRAF PERANAN MEDIA PACU PRODUKTIVITI NEGARA

KUALA LUMPUR,15 April (IKIM) – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) secara rasmi melancarkan Anugerah Media Akademi Dalam Industri (ADI) sebagai satu langkah strategik bagi mengiktiraf peranan penting pengamal media dalam menyokong agenda produktiviti serta pembangunan modal insan negara.

Penganjuran anugerah ini turut menyaksikan pelantikan Malaysia Press Institute (MPI) sebagai sekretariat pelaksanaan, bersandarkan kepada kepakaran luas institusi tersebut dalam pembangunan profesional kewartawanan dan pengurusan anugerah media di peringkat nasional.

Inisiatif ini direka untuk memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat melalui peningkatan kebolehpasaran dan akses kepada latihan kemahiran yang lebih fleksibel serta relevan dengan kehendak pasaran semasa.

Pada masa yang sama, sektor industri bakal memperoleh bekalan tenaga kerja yang lebih kompeten bagi memacu daya saing ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

Bagi memastikan liputan yang komprehensif, MPC memperkenalkan tiga kategori utama iaitu Media Cetak dan Portal Berita, Media TV, Radio dan Portal Video, serta kategori Media Sosial bagi video pendek.

Pembahagian kategori tersebut mencerminkan evolusi landskap media masa kini yang menggabungkan platform konvensional dan digital dalam membentuk persepsi masyarakat.

Kategori Media Cetak dan Portal Berita memberikan tumpuan kepada penulisan analitikal yang mendalam, manakala kategori penyiaran mengiktiraf penceritaan visual yang berkesan.

Sementara itu, kategori Media Sosial diperkenalkan bagi menyantuni perkembangan teknologi komunikasi semasa yang memerlukan penyampaian maklumat secara kreatif dan padat, khususnya untuk menarik perhatian generasi muda.

ADI itu sendiri merupakan program nasional yang menekankan konsep latihan di tempat kerja atau place and train bagi memastikan bakat tempatan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan, justeru melalui anugerah ini, MPC menyasarkan peningkatan kualiti pelaporan media yang berteraskan ketepatan fakta dan kefahaman konsep produktiviti yang jelas.

MPI selaku sekretariat akan bertanggungjawab menyelaraskan proses penilaian yang dikendalikan oleh panel juri profesional bagi memastikan piawaian kewartawanan yang tinggi sentiasa terpelihara.

Penyertaan bagi anugerah ini akan dibuka kepada seluruh pengamal media dalam tempoh yang akan ditetapkan tidak lama lagi, dengan syarat utama karya mestilah memberi fokus kepada impak ADI terhadap syarikat dan tenaga kerja.

Majlis kemuncak anugerah berkenaan dijangka menjadi platform utama dalam memperkukuh jalinan kerjasama antara kerajaan, industri, dan pengamal media demi membina ekosistem kewartawanan yang berimpak tinggi serta berintegriti.

WhatsApp
Scroll to Top