ZIARAH KASIH PTPTN BANTU PELAJAR CEMERLANG TERUSKAN IMPIAN KE IPT

SIMPANG AMPAT, 15 April (IKiM) – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh komitmennya dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Program Ziarah Kasih yang menyantuni golongan memerlukan, khususnya pelajar cemerlang.

Terbaharu, PTPTN telah menyampaikan sumbangan kepada seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang memperoleh keputusan 8A, Nur Surfina Arissa Shukri Abdullah, di kediamannya di Bandar Tasek Mutiara, di sini.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim yang berkata, bantuan berjumlah RM1,000 itu disalurkan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime bagi membantu persediaan awal pelajar melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“PTPTN terpanggil untuk menyalurkan sumbangan ini bagi meringankan beban kewangan pelajar serta menjadi dorongan untuk beliau meneruskan cita-cita ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Menurut beliau, ujian kehilangan ibu tersayang yang meninggal dunia akibat kanser pada 16 Mac lalu, iaitu tiga hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, merupakan cabaran besar buat pelajar tersebut.

“PTPTN berharap sumbangan ini dapat menjadi pemangkin semangat untuk beliau terus melangkah ke hadapan dan mencapai masa depan yang lebih cemerlang,” tambahnya.

Dalam pada itu, PTPTN memaklumkan Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma, serta Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak.

Sempena Belanjawan 2025, kerajaan turut memperluaskan kriteria pemberian Geran Sepadan melalui Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI) kepada keluarga berpendapatan antara RM4,000 hingga RM6,000, sekali gus membolehkan pendeposit yang layak memohon geran sehingga RM5,000 bagi satu keluarga.

Selain itu, Simpan SSPN Plus menawarkan enam pakej simpanan bermula serendah RM30 sebulan dengan manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, termasuk khairat kematian kepada pendeposit serta ahli keluarga.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, PTPTN akan terus komited memperluas pelaksanaan program CSR khususnya dalam bidang pendidikan, selaras dengan usaha membangunkan potensi generasi muda negara.

WhatsApp
Scroll to Top