KERAJAAN MADANI PERKASA INSTITUSI PONDOK SECARA TERSUSUN DAN STRATEGIK

PUTRAJAYA, 15 April (IKIM) – Kerajaan MADANI terus komited memperkasakan institusi pondok sebagai antara agenda penting dalam memartabatkan pendidikan Islam tradisional dan warisan turath negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan berkata pelbagai resolusi penting telah dicapai menerusi beberapa program terdahulu, termasuk Muzakarah UMRAN 2025 kali pertama, Ijtima’ MADANI Ulama dan Guru Pondok serta sesi libat urus bersama guru-guru pondok.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pondok MADANI yang diadakan di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Kompleks Islam Putrajaya, yang menjadi platform penting dalam menyelaras usaha pemerkasaan institusi pondok secara lebih sistematik dan bersepadu.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut bersifat strategik dalam menggerakkan inisiatif memperkukuh peranan institusi pondok secara tersusun, sistematik dan berhikmah, selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkasa pendidikan Islam berteraskan nilai tradisi dan keilmuan.

“Usaha dan inisiatif ini bukan sekadar program, tetapi merupakan satu agenda strategik bagi memastikan institusi pondok terus relevan dan berdaya saing dalam arus pendidikan semasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya menerima pandangan serta maklum balas yang amat baik daripada pelbagai tokoh dan guru pondok, antaranya Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki, Haji Zulkarnain Harun, Ahmad Raqim An-Nuria Al-Madani dan Syeikh Jamil Tajuddin al-Jarumi.

Zulkifli berharap segala usaha yang dirangka dapat direalisasikan dengan jayanya, sekali gus mengangkat martabat institusi pondok sebagai tunjang penting dalam pembangunan ummah di negara ini.

Kredit foto: FB YB Senator Dr Zulkifli Hasan

WhatsApp
Scroll to Top