TH BERSEDIA OPERASI HAJI 1447H/2026M

Oleh: Muhammad Suhairi Fakri

SEPANG 15 April (IKIM) – Kesiapsiagaan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi musim 1447H/2026M dapat dilihat menerusi pengurusan operasi yang tersusun rapi dari peringkat awal hingga proses pelepasan di lapangan terbang.

Sebelum berlepas ke Tanah Suci, jemaah haji akan melalui beberapa kaunter penting seperti pengambilan kelengkapan iaitu lencana pengenalan haji, tag bagasi (muassasah) gelang pengenalan haji dan beg sandang (muassasah).

Seterusnya jemaah haji akan melalui kaunter semakan pasport, urusan bagasi dan ke dewan taklimat dengan setiap proses dilaksanakan secara berperingkat dan tersusun bagi memastikan jemaah berada dalam keadaan bersedia sebelum bergerak ke lapangan terbang.

Seterusnya, jemaah akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 menaiki bas yang disediakan oleh pihak TH dan melalui laluan khas bagi melengkapkan proses akhir sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Pada peringkat ini, jemaah akan melalui pemeriksaan imigresen serta kemudahan Makkah Route iaitu proses mengecap pasport yang akan membantu mempercepatkan urusan setibanya di Arab Saudi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air (OHTA) Musim Haji 1447H/2026M, Mohd Norber Kassim berkata, jemaah haji tidak perlu bimbang terhadap situasi penerbangan ke Asia Barat yang berpotensi menjejaskan jadual perjalanan, kerana semua urusan dipantau rapi serta diurus dengan baik oleh pihak berkaitan.

“Setakat ini Tabung Haji telah bekerjasama dengan pihak Malaysia Airlines dan Saudia Airlines dalam menyediakan penerbangan, insyaAllah, ia dilaksanakan mengikut ketetapan dan juga keperluan yang sepatutnya.

Berkaitan dengan isu di Asia barat pihak TH telah membuat persiapan dan mengambil kira senario-senario yang kemungkin akan terjadi dan telah mengambil langkah sewajarnya kerana ia juga melibatkan pihak kerajaan Malaysia,” ujar beliau.

Fasa pertama pelepasan jemaah haji musim 1447H/2026M dijadualkan bermula pada 17 April hingga 21 Mei 2026, yang melibatkan urusan keberangkatan jemaah ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

Manakala, fasa kedua pula melibatkan urusan kepulangan jemaah haji ke tanah air yang dijadualkan berlangsung dari 3 Jun hingga 1 Julai 2026, selepas selesai menunaikan seluruh rukun haji di Makkah dan Madinah.

Beliau berkata, seramai 284 jemaah haji akan berlepas menerusi penerbangan pertama sebagai kumpulan terawal bagi musim haji 1447H/2026M.

WhatsApp
Scroll to Top