PUTRAJAYA, 14 April (IKIM) – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM3.1 juta yang memanfaatkan lebih 29,100 penerima terdiri daripada pelajar serta masyarakat memerlukan di seluruh negara.

Sumbangan tersebut disampaikan menerusi Majlis Serahan Sumbangan Aidilfitri 2026 yang melibatkan 192 lokasi program di seluruh negara sejak 26 Mac lalu, bermula di Ar-Rahnu YAPEIM Cawangan Kapar, Selangor dan dijangka berakhir pada 18 April ini.

Majlis peringkat kebangsaan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan di Ibu Pejabat YAPEIM, Menara Ochre, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YAPEIM, Tuan Abdul Khudus Mohd Naaim, Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi Nasan serta barisan pengurusan tertinggi YAPEIM. Dalam majlis tersebut, YAPEIM turut memperuntukkan RM63,500 bagi pelaksanaan program termasuk bantuan kepada 300 pelajar yang menerima RM100 setiap seorang serta 100 ketua isi rumah yang menerima bantuan tunai RM100 dan bakul makanan bernilai RM100.

Sumbangan yang disalurkan ini turut mendapat sokongan dana daripada sektor korporat termasuk Hong Leong Islamic Bank, Affin Islamic Bank, QSR Brands dan Gas Malaysia Berhad.

Program ini bukan sahaja bertujuan meringankan beban golongan memerlukan, malah memperkukuh ukhuwah, menyemai rasa kesyukuran serta memperkasakan komuniti selepas Ramadan. Ia juga menggalakkan budaya memberi dan berkongsi rezeki sempena Syawal melalui inisiatif infak dan pemberdayaan masyarakat.

Dalam majlis sama, YAPEIM turut melancarkan Kempen Keep Malaysia Clean (KMC – YAPEIM) sebagai sebahagian daripada Program Keep Malaysia Clean yang telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri pada Oktober tahun lalu sempena ulang tahun ke-58 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

YAPEIM dipilih sebagai perintis pelaksanaan kempen tersebut bagi mewakili agensi agama dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan kebersihan, integriti dan keharmonian.




