PUTRAJAYA, 13 April (IKIM) – Malaysia dan Jepun terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi kerjasama strategik dalam bidang kelestarian alam, teknologi hijau dan pembangunan ekonomi mampan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup menerima kunjungan hormat Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Noriyuki Shikata di pejabatnya hari ini, dalam satu pertemuan yang membuka ruang kepada kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara.
Pertemuan itu bertujuan memperincikan hasil utama sempena lawatan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke Jepun yang dijadualkan pada Jun depan, selain memperkukuh hubungan strategik sedia ada.
Antara fokus utama perbincangan ialah usaha mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan komitmen terhadap perubahan iklim, termasuk pemanfaatan inovasi teknologi dalam sektor alam sekitar. Kedua-dua pihak turut memberi penekanan kepada kerjasama dalam bidang kelayakan karbon serta pembangunan unsur nadir bumi (REE) secara mampan.

Selain itu, perbincangan turut menyentuh pemuktamadan Memorandum Kerjasama (MoC) Komprehensif dan pelaksanaan Joint Crediting Mechanism (JCM) yang dijangka dimeterai pada Jun 2026. Kerjasama dalam teknologi dekarbonisasi seperti pengeluaran bahan api penerbangan mampan di Sarawak juga menjadi antara agenda penting.
Dalam pada itu, kedua-dua negara turut meneroka pembangunan ekonomi kitaran melalui pengurusan sisa elektronik dan pemprosesan produk sampingan minyak sawit, di samping memperkukuh sekuriti tenaga melalui bekalan gas asli cecair (LNG).
Aspek konservasi turut diberi perhatian, termasuk usaha pemuliharaan hidupan liar dan kejayaan program pembiakan Tapir Malaysia di Jepun serta penyertaan dalam ekspo hortikultur.
Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup menyatakan keyakinan bahawa kerjasama strategik ini mampu memacu inovasi teknologi serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau dalam pelaburan hijau dan pengurusan sumber asli yang bertanggungjawab.
Kredit foto : NRES




