KERAJAAN SASAR PEROLEHAN KOPERASI RM73 BILION MENJELANG 2030

PETALING JAYA, 12 Feb (IKIM) – Kerajaan menyasarkan perolehan gerakan koperasi negara mencecah RM73 bilion menjelang 2030 selaras dengan aspirasi Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030), kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata, sasaran itu hanya dapat dicapai sekiranya koperasi berani keluar daripada zon selesa dan beralih kepada model perniagaan yang lebih cekap, telus serta berdaya saing dengan memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan.

“Melalui Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi 2030 atau DigiKOP 2030, kerajaan mahu koperasi menjadi jentera ekonomi rakyat yang progresif, mampan dan berimpak tinggi,” katanya ketika merasmikan Program Jom@Coop: Jelajah Platinum 2026 dan Sambutan Ulang Tahun ke-70 Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di sini, hari ini.

Menurut beliau, sehingga Jun 2025, Malaysia merekodkan lebih 16,000 koperasi dengan 7.4 juta anggota, aset hampir RM268 bilion dan perolehan melebihi RM40 bilion, sekali gus membuktikan koperasi kekal relevan dalam landskap ekonomi negara.

Dalam pada itu, Mohamad Alamin memuji peranan IKMa yang terus memperkasa koperator melalui latihan dan bimbingan, termasuk kejayaan melaksanakan 777 program latihan tahun lalu menerusi inisiatif seperti Program Bimbingan Strategik dan Transformasi Digital (BESTARI).

Beliau turut memaklumkan penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) sebagai langkah strategik membangunkan modal insan koperasi secara menyeluruh, daripada latihan profesional hingga ke peringkat akademik tertinggi.

“UKKM bukan sekadar institusi pendidikan, tetapi manifestasi komitmen kerajaan dan IKMa melahirkan generasi baharu koperator serta technopreneur yang mampu memimpin koperasi secara berdaya saing di peringkat nasional dan global,” katanya.

Tambah beliau, bermula 2025, kerjasama Yayasan Bank Rakyat dan UKKM menyediakan biasiswa bernilai RM32,000 bagi pengajian Diploma dan RM48,000 bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda, dengan jumlah keseluruhan tajaan RM4.08 juta bagi tempoh tiga tahun.

Beliau berharap kerjasama berterusan antara kerajaan, institusi latihan dan gerakan koperasi akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan koperasi yang lebih progresif, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

WhatsApp
Scroll to Top