KUALA LUMPUR, 30 Dis 2025 (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan bahawa amalan bai‘ah dalam Islam tidak boleh difahami sebagai satu bentuk ketaatan tanpa batas, sebaliknya ia mestilah sentiasa berlandaskan prinsip syariah, keadilan, dan kemaslahatan umum.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil, menjelaskan bahawa Islam mengiktiraf bai‘ah sebagai amalan yang berasaskan sunnah Rasulullah SAW bagi tujuan mengukuhkan perpaduan serta menyusun kehidupan bermasyarakat.
“Para ulama menjelaskan bahawa bai‘ah mutlak hanya khusus kepada Rasulullah SAW, manakala bai‘ah selepas kewafatan Baginda terikat dengan maqasid syariah, keadilan dan kemaslahatan umum,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menyatakan kebimbangan terhadap kekeliruan yang timbul apabila konsep bai‘ah disalah tafsir di luar kerangka tradisi ilmu Islam yang muktabar. Tambah beliau tafsiran yang menyimpang boleh membawa kepada tuntutan ketaatan melampau sehingga memberi kesan buruk kepada pihak lain tanpa asas syarak yang sah.
Tegas beliau, bai‘ah yang sahih menurut Islam wajib dilakukan secara sukarela dan tidak seharusnya mengandungi unsur paksaan yang boleh membawa kemudaratan.
IKIM menyeru seluruh lapisan masyarakat agar merujuk kepada ulama berautoriti dan institusi agama yang sah bagi mendapatkan kefahaman yang benar mengenai konsep ini. Langkah tersebut penting bagi membezakan antara amalan yang sahih dengan tafsiran yang menyeleweng demi memelihara keharmonian serta kestabilan negara.
“Islam menekankan kesetiaan yang berlandaskan ilmu, kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan, membentuk masyarakat matang, berakhlak, serta mampu menghadapi perbezaan pandangan secara berhemah dan bertanggungjawab.” tambah beliau.
Mohamed Azam berkata dengan kefahaman yang betul, masyarakat akan lebih berupaya menghadapi perbezaan pandangan secara berhemah dan bertanggungjawab tanpa menggadaikan nilai-nilai kemanusiaan.




