SHAH ALAM, 21 Dis (IKIM) – Isu disiplin dan keselamatan pelajar di institusi tahfiz termasuk kes buli, pengabaian dan salah laku perlu ditangani secara tegas namun berhemah, selaras dengan prinsip pendidikan Islam yang menekankan nilai rahmah, keadilan dan ihsan.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Haji Salehuddin Saidin berkata, maahad tahfiz mestilah menjadi persekitaran yang selamat, sejahtera dan kondusif bagi pembentukan akhlak serta perkembangan sahsiah pelajar.
“Perhatian terhadap aspek integriti, pematuhan peraturan dan kebajikan pelajar merupakan prasyarat penting kepada kelangsungan institusi tahfiz. Kegagalan memelihara perkara ini berisiko menjejaskan kepercayaan masyarakat serta masa depan pendidikan tahfiz itu sendiri,” kata beliau

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Islah dan peluncuran Program Medical Tahfiz, di sini malam tadi. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Pengerusi MAIS, Tan Sri Mazlan Mansor.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Medical Tahfiz, Dato’ Wan Muhammad Bin Dato Sheikh Abdul Aziz; Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Islah, Profesor Dr. Muhamad Rahimi Osman; Ketua Pegawai Eksekutif Medical Tahfiz, Dr. Mohammad Nawar Ariffin; dan Pengarah Pusat Kajian Syariah dan Undang-undang Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Nik Roskiman Abdul Samad.

Mengulas pengukuhan institusi tahfiz dalam era moden, Salehuddin berkata, dunia digital dan cabaran global yang semakin kompleks menuntut kelahiran ilmuwan serta profesional yang berpegang teguh kepada nilai dan ajaran al-Quran.
Menurutnya, institusi tahfiz masa kini tidak lagi terhad kepada hafazan al-Quran semata-mata, sebaliknya berperanan membina karakter dan peribadi, memupuk kepimpinan serta melatih generasi yang mampu menghadapi cabaran masa depan.
“Institusi tahfiz perlu bergerak maju dengan pendekatan pendidikan bersepadu, inovatif dan holistik,” tambah beliau.
Dalam perkembangan sama, beliau menyifatkan peluncuran Program Medical Tahfiz sebagai satu sejarah baharu yang berpotensi mengubah landskap pendidikan tahfiz negara.
Katanya, program perintis itu membuktikan pendidikan tahfiz mampu bergerak seiring dengan bidang profesional lain termasuk perubatan, kejuruteraan, perundangan dan perakaunan.
“Bidang perubatan amat berkait rapat dengan usaha menyelamatkan nyawa manusia. Bayangkan seorang doktor pakar yang menghafaz 30 juzuk al-Quran, sudah pasti memberi ketenangan dan keyakinan tinggi kepada pesakit kerana hubungan rohani serta tahap tawakkalnya kepada Allah SWT,” ujar beliau.

Salehuddin berkata, Program Medical Tahfiz berpotensi membuka ruang lebih luas kepada para huffaz untuk menceburi bidang perubatan dan sains kesihatan, sekali gus melahirkan doktor yang beradab dan bertakwa, penyelidik berintegriti serta pemimpin kesihatan yang bertunjangkan nilai Rabbani.
Beliau berharap inisiatif itu membawa manfaat besar kepada bangsa, agama dan negara, selain menjadi inspirasi kepada institusi tahfiz lain di seluruh Malaysia.




