ISKANDAR PUTERI, 13 Sept (IKIM) – Semua dasar dan pembangunan negara perlu mengambil kira pandangan Islam agar pembangunan fizikal dan teknologi tidak mengabaikan aspek kemanusiaan serta akhlak, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada Majlis Penutup Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2025 di sini hari ini, beliau menegaskan bahawa pembangunan negara tidak boleh hanya diukur melalui kemajuan infrastruktur dan teknologi, sebaliknya mesti berpaksikan roh Islam, nilai akhlak serta keutuhan manusia.
“Kita tidak mahu hanya membangunkan gedung, tetapi meruntuhkan nilai manusia di dalamnya. Pembangunan yang dikejar tanpa akhlak hanya menjadikan kita bangsa merdeka tetapi hakikatnya hamba,” kata beliau.

Menurut beliau, semua dasar meliputi aspek pembangunan desa sehingga digital dan kecerdasan buatan (AI), perlu disemak dengan pandangan Islam supaya ia memberi manfaat besar kepada rakyat tanpa mengorbankan keadilan dan nilai kemanusiaan.
Anwar dalam pada itu menyeru agar jabatan dan agensi Islam muncul sebagai contoh terbaik dalam urusan pentadbiran moden, dengan penguasaan teknologi baharu termasuk AI, sekali gus menjadi pemacu perubahan negara ke arah lebih cemerlang.
Beliau turut menekankan bahawa perpaduan dalam negara MADANI mesti sentiasa diperkukuh dengan prinsip dan nilai, selain menyeru kerjasama semua agensi agama agar mesej perubahan dan kemajuan dapat disampaikan secara menyeluruh di masjid, surau serta sekolah-sekolah agama.

Majlis penutup itu turut menyaksikan penyerahan Resolusi Konvensyen Hal Ehwal Islam kali ke-3 serta pelancaran Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia dengan kerjasama pelbagai pihak berkaitan.
Sementara itu sebanyak lapan resolusi penting akan diteliti untuk dilaksanakan bagi memperkukuh peranan agensi agama dalam tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan hal ehwal Islam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, resolusi berkenaan disyorkan melalui Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam Kali Ke-3 yang menjadi antara pengisian utama IJPAM 2025.

Katanya, resolusi tersebut merangkumi usaha memperkukuh tadbir urus termasuk mengoptimumkan fungsi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai industry lead body (ILB), selain memperkasakan jaringan kerjasama strategik antara sektor awam, swasta dan komuniti.
“Kita mahu melaksanakan pengislahan ummah secara bersepadu bermula dari peringkat awal usia kanak-kanak. Pada masa sama, kita juga melestarikan transformasi perkhidmatan hal ehwal Islam agar kekal relevan dan mampu mendepani cabaran semasa,” kata beliau.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup IJPAM 2025 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Mohd Na’im menambah, resolusi lain turut menekankan pembangunan kompetensi menyeluruh melalui perkongsian kepakaran, termasuk penempatan silang agensi agama di dalam dan luar negara sebagai amalan terbaik tadbir urus
Menurutnya, penstrukturan agensi hal ehwal Islam juga akan diperluas melalui penambahan perjawatan atase agama di luar negara, di samping penempatan di agensi kerajaan persekutuan, negeri serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

IJPAM 2025 melibatkan 2,400 peserta daripada 20 agensi agama seluruh negara dengan penganjuran beberapa acara termasuk Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam; Seminar Halal Serantau; dan Kejohanan Sukan IJPAM.
Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi; Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.
Foto: Fathulmungin Mohd Yusof