AHMAD ZAHID LANCAR PROGRAM BRAVE, TINGKAT PENGLIBATAN SYARIKAT BUMIPUTERA DI BURSA MALAYSIA

Kuala Lumpur, 28 Julai 2025 (IKIM) – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hari ini melancarkan Program Bumiputera Rapid Acceleration & Value Enhancement (BRAVE), satu inisiatif strategik yang bertujuan memperkasa syarikat Bumiputera berprestasi tinggi ke arah penyenaraian di Bursa Malaysia.

Dalam Sesi Aspirasi PKS Bumiputera Berprestasi Tinggi yang berlangsung hari ini, Ahmad Zahid mendedahkan statistik yang membimbangkan bahawa hanya 62 daripada 945 syarikat tersenarai di Bursa Malaysia sehingga tahun 2022 dimiliki oleh Bumiputera, iaitu sekitar tujuh peratus.

Tambahan pula katanya, hanya satu syarikat Bumiputera berjaya disenaraikan dalam tempoh empat tahun lalu berbanding 96 syarikat bukan Bumiputera.

“Kita hadir hari ini bukan untuk menyalahkan sesiapa. Intervensi menyeluruh bukan lagi pilihan, tetapi satu kewajipan. Kita mesti keluar daripada zon selesa dan mencipta gelombang perubahan,” tegas beliau dalam ucapannya.

Ahmad Zahid berkata program BRAVE dilihat sebagai pemangkin (catalyst) untuk memacu syarikat Bumiputera daripada sekadar bertahan kepada menjadi juara pasaran serantau dan global.

Beliau berkata antara inisiatif utama BRAVE termasuk pembiayaan alternatif sehingga RM1 juta, pembangunan kapasiti menyeluruh, 15 syarikat terpilih bagi fasa awal dan sasaran dua syarikat Bumiputera disenaraikan tahun ini sebagai bukti pencapaian segera.

Ahmad Zahid turut menekankan bahawa BRAVE bukan retorik, tetapi memerlukan disiplin, ketelitian dan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta serta agensi berkaitan.

Beliau menyatakan komitmen penuh kementeriannya untuk menjadi pemudah cara dan pemangkin sinergi dasar dan tindakan.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata menjelang tahun 2030, BRAVE menyasarkan 5 hingga 10 syarikat Bumiputera baharu disenaraikan di Bursa Malaysia dengan memfokuskan kepada tiga hala tuju utama iaitu Dare to List Dare to Lead, Unite the Builders  dan Blueprint to Bursa.

Menutup ucapannya, Ahmad Zahid menegaskan bahawa BRAVE bukan sekadar satu lagi program kerajaan, tetapi perlu menjadi satu legasi perubahan dan inspirasi untuk generasi akan datang.

“Kita mahu lihat syarikat Bumiputera mendominasi papan utama Bursa, menjadi juara eksport dan pembuka laluan kepada pekerjaan bernilai tinggi. BRAVE adalah warisan yang mesti kita cipta bersama,” katanya.

Program BRAVE disokong secara strategik oleh pelbagai agensi dan entiti korporat termasuk SIDC, Deloitte dan MTDC, dan dijangka menjadi pemangkin kebangkitan usahawan Bumiputera ke arah penguasaan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.

WhatsApp
Scroll to Top