PARA HUFFAZ DISERU GUNAKAN PLATFORM DIGITAL UNTUK SEBARKAN ILMU – MENTERI AGAMA

KUALA KUBU BHARU, 12 Julai (IKIM) – Para huffaz diharap dapat menjadi generasi celik agama dan celik digital serta memanfaatkan platform digital untuk menyebarkan ilmu yang sahih serta mendidik masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata al-Quran yang dihafal anak-anak huffaz ini bukan untuk dipertonton, tetapi untuk diimani, diamalkan dan disampaikan dengan adab bagi mendepani kewujudan fahaman menyeleweng, ajaran sesat dan kekeliruan akidah yang berlegar bebas di media sosial.

“Anak-anak Huffaz sekalian, kalian adalah benteng agama. Dengan ilmu dan hafalan yang dimiliki, bangkitlah sebagai penegak kebenaran dan penyatu ummah,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Istiadat Konvokesyen Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kali ke-33, di sini hari ini.

Mohd Na’im turut mengajak para huffaz ini meningkatkan kemahiran, mengasah potensi diri agar mampu menyumbang dalam pelbagai bidang dan menjadi kebanggaan ummah.

Beliau turut berpesan agar para huffaz dapat terus mendalami makna al-Quran, menyampaikan dakwah dengan hikmah dan memperjuangkan Islam dengan ilmu serta adab.

“Jadilah insan yang memberi manfaat, yang menyatukan umat dan yang menebar rahmat. Umat ini sangat memerlukan generasi yang memiliki hati yang lembut, fikiran yang tajam, dan jiwa yang kental untuk memimpin masa hadapan,” ujar beliau.

Turut hadir Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Pengarah Darul Quran JAKIM, Hj. Mohd Ansarullah Mohd Hashim.

WhatsApp
Scroll to Top