MARA PERUNTUK RM10 JUTA PERKASA USAHAWAN MOTOSIKAL BUMIPUTERA

KUALA LUMPUR, 11 Jun (IKIM) – Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan kerjasama PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM) hari ini melancarkan inisiatif strategik bagi memperkasa usahawan Bumiputera dalam industri penyelenggaraan dan baik pulih motosikal melalui jenama MotoExpert.

Program dengan kerjasama Pembangunan Usahawan Motosikal MARA-PETRONAS (PUMP) MotoExpert yang memperuntukkan sebanyak RM10 juta ini merupakan sebuah program khas keusahawanan MARA yang memberi tumpuan kepada peningkatan kapasiti dan daya saing bengkel motosikal milik usahawan Bumiputera.

Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata MARA tidak hanya mahu melatih tenaga berkemahiran tinggi dalam pelbagai sektor melalui institusi-institusi pendidikan MARA, tetapi mahu mereka terjun dalam dunia perniagaan dan keusahawanan. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Pembangunan Usahawan Motosikal MARA-PETRONAS (PUMP) MotoExpert, di sini, hari ini. 

“Dianggarkan penghujung tahun ini, 30 usahawan automotif akan dilahirkan menerusi program ini dan usahawan yang menyertai kali ini akan ditemuramah sebelum ditawarkan mengikuti program berstruktur ini,” kata beliau. 

Asyraf berkata, MARA menawarkan latihan teknikal berstruktur, penjenamaan semula premis, serta kemudahan pembiayaan perniagaan sehingga RM300,000. 

Katanya MARA turut menyediakan dana tambahan RM1 juta bagi tujuan latihan teknikal berstruktur kepada peserta terpilih, selain bantuan penjenamaan semula premis dan pembiayaan kemudahan perniagaan.

Selain itu, peserta turut menerima sokongan dari segi rantaian bekalan alat ganti, penambahbaikan imej premis serta pembangunan sistem operasi bengkel yang lebih efisien dan kompetitif.

“Kaedah pembiayaan berstruktur ini akan lebih menjamin bukan sekadar dari aspek bayaran balik yang baik, tetapi aspek kelestarian dan kemampanan perniagaan usahawan-usahawan bumiputera ini” tambah beliau. 

Inisiatif ini juga bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada lepasan institusi TVET dalam bidang penyelenggaraan dan baik pulih motosikal serta meningkatkan potensi untuk mereka memiliki bengkel sendiri.

Turut hadir, Mohd Zameer bin Zahur Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMM).

Sebagai nilai tambahan, PLMM akan membekalkan produk minyak pelincir jenama PETRONAS Sprinta secara terus kepada bengkel MotoExpert tanpa melalui perantara, sekali gus memberikan margin keuntungan yang lebih tinggi kepada usahawan. PLMM juga akan membantu usahawan menyediakan dalam aspek pemasaran, latihan teknikal dan kolaborasi bersama pemain industri luar.

Program ini terbuka kepada lepasan institusi TVET MARA atau mana-mana institusi lain yang telah mengendalikan perniagaan bengkel motosikal sekurang-kurangnya selama enam bulan, dengan jualan tahunan melebihi RM360,000. Sesi pemilihan peserta akan dilaksanakan melalui seminar dan sesi temu duga pada pertengahan tahun ini.

Program PUMP MotoExpert MARA-PETRONAS bukan sahaja dijangka mempertingkatkan tahap profesionalisme dan imej bengkel Bumiputera, malah menyumbang secara langsung ke arah memperkukuh ekosistem industri motosikal dalam negara.

WhatsApp
Scroll to Top