KUALA LUMPUR, 22 Mei (IKIM) – Penguasaan dan pemerkasaan bahasa perlu dikuasi dengan baik dalam menjadi sebuah negara hebat dan bertamadun disamping mengejar pembangunan dan kemajuan dari aspek ekonomi dan kewangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam meneroka bidang-bidang baharu seperti digital, kecerdasan buatan (AI) termasuk kejuruteraan, namun jangan meninggalkan aspek yang sangat utama iaitu jati diri kita.

Anwar berkata dalam negara Madani, sementara berhempas pulas dan bersaing untuk mendapatkan yang sebaiknya dalam aspek ekonomi dan kewangan, namun kejayaan itu tidak harus meninggalkan satu aspek dalam pembangunan dan pertumbuhan negara yang sangat penting iaitu penguasaan bahasa yang baik dan menghargai serta memartabatkan karya-karya besar ilmu termasuk dalam bidang sastera.
“Adalah menjadi satu kesilapan besar buat kita tatkala kita mengejar perubahan dan pembaharuan serta pembangunan negara dengan mengandaikan bahawa aspek-aspek ini (penguasaan dan pemerkasaan bahasa) boleh diremehkan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Hadiah Bahasa Public Bank-Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata usaha ini hendaklah berterusan dan sebagai negara yang mengangkat martabat tamadunnya, maka pemerkasaan dan memantapkan bahasa harus menjadi keutamaan dan penglibatan semua pihak, perlu termasuk pihak swasta.
Penganjuran Hadiah Bahasa Public Bank-DBP 2025 yang menyepi selepas 27 tahun lalu, dianjurkan semula dalam usaha memperkukuh martabat bahasa kebangsaan serta menyemarakkan semangat pengkaryaan dalam kalangan ahli akademik dan profesional.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Dato’ Sulaiman Abdul Manap, penganjuran semula anugerah ini menandakan fasa baharu komitmen Public Bank terhadap pembangunan bahasa dan budaya bangsa.
“Public Bank percaya bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang jati diri bangsa, wadah kebudayaan dan asas perpaduan. Kami berbangga untuk kembali meneruskan legasi yang mula diasaskan pada tahun 1984 oleh pengasas kami, mendiang Tan Sri Dato’ Sri Dr. Teh Hong Piow,” kata beliau.

Tambahnya lagi, kolaborasi bersama DBP dalam penganjuran kali ini mencerminkan hasrat bersama untuk melihat Bahasa Malaysia terus berkembang sebagai bahasa ilmu dan bahasa antarabangsa.
Beliau turut mengungkap kata-kata Dato’ Seri Anwar Ibrahim dari edisi pertama Hadiah Bahasa, “Apa yang menjadikan dunia akliah dan ilmiah lesu ialah kerana karya baharu masih dinantikan kemunculannya, manakala karya besar silam masih belum keluar dari muzium.”
Hadiah Bahasa Public Bank – DBP 2025 bertemakan “Pembangunan Lestari melalui Nilai Teras Malaysia MADANI yang Mencakupi Bidang Ekonomi, Masyarakat dan Alam Sekitar.”
Pelbagai kategori dipertandingkan dengan tarikh tutup penyertaan pada 30 Jun 2025.