SEPANG, 29 April (IKIM) – Musim haji 1446H/2025M bemula apabila seramai 284 orang jemaah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 4.05 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada 7.50 pagi waktu tempatan (Arab Saudi), hari yang sama.
Mereka terdiri daripada jemaah yang berlepas dari stesen Alor Setar, Kedah dan Sepang, Selangor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar berkata sebanyak 100 penerbangan sewa khas haji melalui syarikat AMAL by Malaysia Airlines Berhad dan Saudia Airlines disediakan bagi membawa seramai 31,600 jemaah Malaysia ke Tanah Suci. Penerbangan terakhir dijadualkan berlepas pada 1 Jun 2025.

Beliau dalam ucapannya kepada jemaah haji menegaskan komitmen Kerajaan Malaysia melalui Lembaga Tabung Haji (TH) untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan jemaah terpelihara sepanjang musim haji ini.
Beliau turut memuji dedikasi TH dalam menguruskan urusan haji secara holistik, bermula dari persiapan sebelum berlepas sehingga kepulangan ke tanah air.

“Saya ingin mengingatkan semua jemaah haji Malaysia agar mengekalkan imej baik negara di mata dunia, mematuhi undang-undang Kerajaan Arab Saudi dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada ibadah untuk mencapai haji yang mabrur,” katanya.
Mohd Na’im bersama Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta barisan pengurusan TH turut hadir di KLIA untuk meraikan perlepasan jemaah.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi, khususnya Kementerian Haji dan Umrah, atas kesinambungan inisiatif ‘Makkah Route’ untuk tahun ketujuh, yang memudahkan urusan imigresen jemaah di tanah air sebelum berlepas.
Malaysia turut mencatat sejarah sebagai negara pertama di dunia mengagihkan Kad Nusuk kepada jemaah di dalam negara, hasil kerjasama antara Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, TH dan syarikat pengendali jemaah AlMasiah. Kad ini bertujuan memperkemas persiapan dan mengelakkan kesesakan ketibaan di Arab Saudi.

Selain Sepang dan Alor Star, enam stesen berlepas lain di seluruh negara digunakan untuk urusan melapor diri jemaah, iaitu di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Bayan Lepas, Senai, Kuching dan Kota Kinabalu.
Beliau menambah, petugas haji TH telahpun dihantar ke Arab Saudi seawal 24 April bagi membuat persiapan awal menyambut ketibaan para jemaah.