KUALA LUMPUR, 29 April (IKIM) – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dalam mesyuaratnya yang ke-125 pada 26 September 2024 telah bersetuju memperakukan larangan terhadap 12 buah buku yang didapati mengandungi kandungan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta prinsip syariah dan akhlak Islam.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Penasihat Media Berunsur Islam (JPMBI) pada mesyuarat kali ke-96 yang telah bersidang dari 20 hingga 22 Rabiulawal 1446 Hijrah bersamaan 24 hingga 26 September 2024.
Antara judul buku yang disenaraikan untuk dikenakan Perintah Larangan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk:
- The Goal of The Wise oleh Abdullah Hashem Aba al-Sadiq (2022)
- Memahami dan Menyingkapi Tradisi Tuhan – Kebangkitan yang Dibenci tapi Dirindui oleh Ahmad Mesiyyakh (2022)
- Manusia Sebelum Adam oleh Luqmanul Hakim Abdul Razak (2023)
- Suhuf Abraham (Tanpa penulis & tahun terbit)
- Suka Duka Perjalanan Dhul Qarnain (Tanpa penulis & tahun terbit)
- Islam, Autoritarianisme dan Kemunduran Bangsa oleh Ahmet T. Kuru (2024)
- Perikatan Ulama – Negara Punca Autoritarianisme dan Kemunduran Dunia Muslim oleh Ahmet T. Kuru (2022)
- Golongan Muslim Pertama, Sejarah dan Memori oleh Asma Afsaruddin (2018)
- Jalan Kebenaran Universal (Tanpa penulis & tahun terbit)
- Duhai Hati – Menarilah Bersamaku oleh Ismail Ariffin @ Lepat (2023)
- Kaidah Moral dan Disiplin (Tanpa penulis & tahun terbit)
- Penemuan Terbaru Akidah Bersanad Imam Al-Shafi’i oleh Sadr al-Din Abu al-Wafaʾ Sulayman bin Yusuf al-Yasufi (2024)
Menurut Muzakarah, buku-buku tersebut dipercayai berpotensi mengelirukan umat Islam kerana membawa fahaman yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sahih.
Sehubungan itu, umat Islam diingatkan agar tidak memiliki, menyimpan, mencetak, menjual, atau mengedarkan mana-mana terbitan berkaitan dengan kandungan buku-buku berkenaan.
Sumber gambar – MalaysiaGazette