KUALA LUMPUR, 19 Mac (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengecam sekeras-kerasnya serangan terbaharu Israel ke atas Gaza meskipun gencatan senjata telah dikuatkuasakan sejak 19 Januari lalu.
Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata dalam satu kenyataan hari ini berkata pencabulan gencatan senjata yang berlaku hampir setiap hari oleh rejim Zionis, sekatan bantuan kemanusiaan, serta penutupan lintasan sempadan terus memburukkan penderitaan lebih 2.4 juta rakyat Gaza yang kini berdepan kebuluran, krisis kesihatan, dan kezaliman berterusan sejak 7 Oktober 2023.
“IKIM menegaskan bahawa serangan terbaru ini telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan dalam jumlah besar dalam tempoh yang singkat. Selain itu, kemusnahan infrastruktur kritikal dan penderitaan rakyat Gaza, terutamanya wanita, warga emas, dan kanak-kanak, terus meningkat,” ujar beliau.
IKIM turut menyifatkan serangan terhadap populasi yang serba kekurangan ini sebagai bukti kebaculan rejim Zionis dan satu jenayah perang yang secara terang-terangan melanggar Konvensyen Geneva.
IKIM turut melahirkan kekecewaan terhadap masyarakat antarabangsa yang terus berdiam diri, serta negara-negara Islam yang gagal mengambil tindakan tegas bagi menghentikan kekejaman ini. Meskipun terdapat kecaman lisan dan resolusi dalam pelbagai forum antarabangsa, ketiadaan tindakan konkrit telah membuktikan perlunya kepimpinan dunia Islam yang lebih bersatu dan strategik dalam mempertahankan hak rakyat Palestin.
Dalam kenyataan tersebut, IKIM menyokong penuh seruan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, agar masyarakat dunia menuntut rejim Zionis bertanggungjawab atas kekejaman yang mereka lakukan. I
“IKIM juga menyambut baik gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar, agar semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melaksanakan Solat Hajat secara berterusan serta mendoakan keselamatan rakyat Palestin sepanjang baki Ramadan,” tambah beliau.
Sehubungan itu, IKIM menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), untuk:
1. Menyediakan usul tergempar kepada PBB bagi menghentikan genosid dan menghantar tentera pengaman serta bantuan kemanusiaan segera berdasarkan Resolusi Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) 377 (A), yang dikenali sebagai resolusi “Bersatu untuk Keamanan”.
2. Mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta badan hak asasi manusia untuk segera bertindak menghentikan kekejaman ke atas rakyat Gaza.
3. Menggunakan semua mekanisme diplomasi, ekonomi, dan undang-undang bagi menekan Israel supaya menghentikan keganasan terhadap rakyat Gaza.
IKIM menegaskan bahawa kezaliman ini mesti dihentikan dan keadilan untuk rakyat Palestin wajib diperjuangkan tanpa kompromi. Kegagalan bertindak hanya akan mengukuhkan budaya kekebalan undang-undang yang membolehkan kezaliman terhadap rakyat Palestin berterusan tanpa sebarang pertanggungjawaban. IKIM menyeru semua pihak untuk mengambil langkah segera dan bersepadu demi memastikan keamanan dan hak asasi rakyat Palestin terus dipertahankan.