YADIM SOKONG KEPIMPINAN YB SENATOR DATO’ SETIA DR. HJ. MPHD NA’IM HJ. MOKHTAR SEBAGAI MENTERI AGAMA

PUTRAJAYA, 1 November (IKIM) – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) memandang serius terhadap desakan yang mengusulkan penggantian YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), susulan isu pindaan Rang Undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024.

YADIM menegaskan bahawa gesaan tersebut tidak hanya mengabaikan rasa hormat terhadap kepimpinan agama, tetapi juga berpotensi mencemarkan institusi agama yang telah menjadi rujukan utama umat Islam.

Menurut YADIM, YB Senator Dr. Hj. Mohd Na’im memiliki latar belakang yang kuat dalam bidang kehakiman, yang memberikan perspektif menyeluruh mengenai undang-undang syariah. Pengalaman beliau bukan sahaja memperkukuhkan dasar-dasar kerajaan dalam melaksanakan undang-undang Islam, malah turut mengukuhkan peranan beliau dalam menjaga keharmonian serta keadilan masyarakat berdasarkan prinsip Islam.

Datuk Hasanuddin Mohd Yunus, Yang Dipertua YADIM dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau menegaskan bahawa gabungan latar belakang kehakiman dan kepimpinan agama menjadikan YB Senator Dr. Hj. Mohd Na’im seorang pemimpin yang berwibawa, mampu mengimbangi dasar kerajaan dan tuntutan agama. 

“Komitmen beliau dalam mempertahankan dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim serta pelaksanaan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu melalui Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) turut membuktikan dedikasi beliau dalam memperkukuhkan institusi agama di Malaysia,” ujar beliau.

YADIM turut menjelaskan bahawa pindaan RUU ini penting bagi memperkukuh institusi mufti di Wilayah Persekutuan manakala proses pelantikan mufti, yang merupakan kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, harus dihormati tanpa menimbulkan kekeliruan.

YADIM menolak sebarang gesaan yang tidak berasas untuk menggantikan Menteri Agama hanya kerana perbezaan pendekatan atau pandangan. Tindakan tersebut, menurut kenyataan itu tidak hanya tidak konstruktif, malah boleh merosakkan kredibiliti institusi agama dalam membimbing umat Islam secara jelas dan adil.

YADIM dalam pada itu turut menyeru semua pihak agar berlapang dada dan mengamalkan prinsip Adab al-Ikhtilaf dalam perbezaan pandangan demi memastikan keharmonian dalam kalangan masyarakat Islam terus terjaga. Desakan yang tidak matang dan terburu-buru bukan sahaja tidak membawa manfaat, malah boleh mengakibatkan kekeliruan serta perpecahan yang tidak diingini dalam masyarakat.

WhatsApp
Scroll to Top