KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) — Pengguna perlu bijak menyemak sebarang berita di media sosial untuk memastikan kesahihannya bagi mengelak sebarang salah faham sehingga mampu mencetuskan rusuhan seperti yang berlaku di United Kingdom (UK).
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Profesor Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil berkata perkongsian maklumat sahih tanpa bersikap terburu-buru dalam menyebarkan semua jenis informasi yang diterima di media sosial penting bagi menghormati batas sensitiviti pihak lain.
Beliau berkata pada masa sama, kebebasan bersuara mutlak juga tidak seharusnya dibenarkan dalam sesebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan agama kerana sebarang fitnah tidak munasabah boleh memecah-belahkan mereka.
“Meluah perasaan itu perlu ada hadnya. Di Malaysia, kita ada limitasi dan had. Kalau kita beri kebebasan yang mutlak sepertimana di Barat dengan suasana multietnik dan agama, ia akan menyebabkan keadaan yang tidak boleh dikawal kalau berlaku sedikit (salah faham).
“Sebab itu kita ada sekatan dari segi undang-undang dan akta. Kita nak jaga keharmonian dalam negara,” katanya ketika menjadi tetamu Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam ini.
Mohamed Azam juga menasihati pempengaruh media sosial supaya bertanggungjawab dengan hanya menyebarkan perkara yang baik tanpa menimbulkan kontroversi mahupun kebencian antara orang lain.
“Kadangkala ada segelintir pempengaruh yang tidak bertanggungjawab ataupun digunakan oleh pihak-pihak tertentu mengulas tentang sesuatu isu seolah-olah mereka mempunyai kepakaran dalam semua perkara,” katanya.
Sebelum ini, Bernama melaporkan penyebaran maklumat salah di media sosial menjadi antara faktor utama berlaku rusuhan berterusan di beberapa bandar di UK sehingga mencetuskan pertempuran ganas sejak beberapa minggu lepas.
Susulan itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menasihati rakyat Malaysia agar tidak berada di lokasi yang dijangka menjadi sasaran dan sentiasa berhubung dengan pejabat kedutaan untuk mengetahui keadaan mereka.
Media sebelum ini memaklumkan bahawa pihak berkuasa UK berdepan tekanan untuk menamatkan rusuhan terburuk England dalam tempoh 13 tahun berikutan insiden tikam di Southport pada 29 Julai lepas.