TANGGUNGJAWAB BERSAMA DALAM MENBENDUNG JEMAAH ISLAMIYAH

Kuala Lumpur (IKIM) – Insiden yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram baru-baru ini membuka perspektif besar masyarakat berkenaan ancaman gerakan radikal keganasan seperti Jemaah Islamiyah (JI) yang masih lagi berakar umbi di Malaysia, dan pelbagai sudut pandangan adalah penting untuk diambil bagi mengklarifikasikan bahawa Islam khususnya tiada kaitan dengan kumpulan militan ini.

Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty berkata insiden yang berlaku ini perlu dijadikan sebagai satu ibrah atau pengajaran kepada seluruh masyarakat bahawa fahaman radikalism agama yang membawa kepada keganasan ini adalah membahayakan keselamatan dan kestabilan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan JI adalah sebahagian daripada golongan pemikiran khawarij yang baharu, iaitu satu kelompok Islam yang melakukan keganasan dengan bersenjata pada peringkat awal sejarah Islam, dan golongan ini juga mengambil satu pendekatan teologi yang mudah dan ganas dengan segera mentaksirkan individu atau seseorang pemerintah dalam sistem kenegaraan sebagai jalan pintas untuk masuk ke syurga.

Sehubungan dengan itu, beberapa pendekatan bersepadu perlu dilakukan bagi memberitahu masyarakat bahawa kumpulan militan radikal dan eksterim JI ini adalah sangat bertentangan dengan ajaran Islam serta kehendak al-Quran, Sunnah dan para ulama.

“Semua masyarakat perlu bertanggungjawab bukan sahaja tentera atau institusi-institusi Islam seperti JAKIM, pemerintah mahupun pihak masjid dan surau dalam mendidik masyarakat mengenai konsep Islam yang sebenarnya, sebab keganasan ditentang dan sebagainya”

“Hendaklah kita mendidik masyarakat Islam dengan pegangan al-Quran dan Sunnah serta menerangkan konsep al-Wasatiyyah dan memahami satu fiqh hidup bersama dalam keadaan aman damai seterusnya didedahkan kepada masyarakat Islam di seluruh peringkat usia”, katanya ketika menjadi tetamu program Buletin Awani Khas pada Jumaat lepas dengan tajuk “Hapuskan Terus Jemaah Islamiyah” terbitan Astro Awani.

Jelasnya, pihak IKIM akan lebih proaktif dalam membincangkan perkara ini dalam membendung kefahaman radikalism Islam terus berkembang pesat di Malaysia.

Dalam kejadian serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.45 pagi Jumaat lepas, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis serta suspek yang dikatakan ahli kumpulan JI manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan mengalami cedera parah.

Artikel ini telah ditulis oleh Nurulasyiqin binti Azman

WhatsApp
Scroll to Top