MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN KEBANGSAAN 2024 BERLANGSUNG HARI INI

Kuantan, 23 Mei (IKIM) – Berlangsung Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi selama enam hari, bermula hari ini hingga 28 Mei 2024 di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.

Program tahunan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun ini telah bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang sekaligus sebagai tuan rumah bagi acara MTHQK 2024 dan ini merupakan kali ketiga Pahang menjadi tuan rumah selepas tahun 2011 dan 2014.

Seramai 110 peserta diwakili 8 orang daripada setiap negeri terlibat dalam penyertaan ini, dengan menampilkan 29 orang peserta terdiri daripada masing-masing 14 qari dan qariah serta seorang johan menunggu qariah bagi kategori tilawah dan 81 orang peserta bagi kategori hafazan.

Tambahan, pada hari ini juga berlangsungnya majlis perasmian MTHQK Tahun 1445 Hijrah/2024 yang mengangkat tema “Al-Quran Dihayati, Negara Diberkati” dengan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof pada jam 9.00 malam.

Turut hadir dalam majlis ini Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Penganjuran MTHQK tahun ini memasuki kali ke-66 semenjak pertama kali dianjurkan pada 1960 dengan beberapa penambaikan format telah dilakukan iaitu dengan peserta tilawah al-Quran diwajibkan membaca dua lagu wajib secara berturut-turut serta menyelesaikan bacaan dengan sekurang-kurangnya empat maqamat dalam masa 10 minit, manakala peserta hafazan al-Quran pula diwajibkan untuk menghabiskan sekurang-kurangnya 10 baris dalam masa 2 minit.

Pembaharuan bagi kategori hafazan al-Quran dilakukan bagi memberikan lebih cabaran kepada peserta yang bertanding dengan soalan akan dikemukakan tanpa disebut atau dinyatakan nombor ayat, nama surah, juzuk dan muka surat seperti kelazimannya.

Sementara itu, setiap pemenang bagi kedua kategori tilawah dan hafazan al-Quran akan membawa pulang hadiah dalam bentuk wang tunai, wang tambahan untuk menunaikan haji, piala, cenderamata, sijil serta akan menerima wang tambahan berjumlah RM1,000.000 sumbangan dari Kerajaan Negeri Pahang dan bar emas seberat 5 gram hadiah tajaan YaPEIM juga akan diberikan kepada johan semua kategori tilawah dan hafazan.

Orang ramai boleh mengikuti acara MTHQK 2024 secara langsung di saluran TV1,  TV Al-Hijrah,Web TV JAKIM serta radio milik RTM dan IKIMfm, dan boleh juga hadir ke lokasi tertera bermula hari ini hingga 28 Mei dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam.

Scroll to Top