MEAOOW FUN RUN ANJURAN IKIMFM, MASJID BANDAR BUKIT RAJA, KLANG DISAMBUT MERIAH

Klang,19 Mei (IKIM) – Kolabrasi bersama Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) dan Masjid Bandar Bukit Raja hari ini mengadakan acara larian ‘Meaoow Fun Run IKIMfm’, berlari bersama kucing kesayangan sambil melakukan aktiviti riadah bermula dari jam 6.30 pagi bertempat di pekarangan Masjid Bandar Bukit Raja, Klang.

Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil yang turut menyertai program ini berkata beliau sangat menyokong program sebegini diteruskan bagi menarik ramai orang untuk datang ke masjid, terutama bagi golongan muda pada masa kini.

“Aktiviti yang seumpama ini perlu dilakukan lebih banyak oleh pihak masjid supaya dapat menarik orang ramai serta golongan muda terutamanya untuk hadir ke masjid oleh kerana masjid kini mempunyai pelbagai aktiviti rohani dan jasmani”

Beliau turut mengucapkan syabas dan jutaan terima kasih kepada pihak Masjid Bandar Bukit Raja, Klang serta IKIMfm selaku media rasmi dan rakan kerjasama yang bertungkus lumus dalam sama-sama menjayakan program Meaoow Fun Run IKIMfm pada hari ini.

Sementara itu, Mohamad Nazri Mohamed Nor selaku nazir Masjid Bandar Bukit Raja berkata beliau sangat terharu dengan kejayaan yang dicapai bagi program hari ini, di mana dianggarkan seramai 500 orang hadir serta gerai-gerai jualan yang dibuka turut memeriahkan acara hari ini.

Jelasnya, kolabrasi antara Masjid Bandar Bukit Raja bersama pihak luar yang ingin menjalankan aktiviti gaya hidup sihat, ilmuan mahupun kemasyarakatan sama ada di masjid ini atau luar amat dialu-alukan.

Antara penyampai IKIMfm yang turut hadir menjayakan program ini, Mona Jasman, Faiz Hj.Othman, Siti Rohani Surani, Luqman Hakim dan ramai lagi.

Scroll to Top