IKIM TERKILAN DENGAN ISU STOKIN TERTERA KALIMAH ALLAH

Kuala Lumpur, 18 Mac (IKIM) – Tindakan mempermainkan perkara berkaitan ketuhanan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi dalam Islam.

Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam satu kenyataan hari ini memohon supaya pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat unsur menghina agama Islam susulan sebelum ini tular gambar stokin tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial sejak 13 Mac lepas.dalam isu ini.

Ketua Pengarahnya, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil menyeru orang ramai mendapatkan maklumat yang betul dan membuat aduan di saluran yang tepat supaya perkara ini dapat disiasat oleh pihak berkuasa.

Mohamed Azam turut menegaskan bahawa dalam sebuah negara yang berbilang kaum, bangsa dan agama, sensitiviti masyarakat Malaysia perlulah dijaga sebaiknya demi mengekalkan keharmonian dan kedamaian yang telah dikecapi sejak sekian lama.

“Sehubungan dengan itu, pendekatan hidup dalam keadaan aman dan damai seperti yang ditekankan dalam Fiqh al-Ta’ayush (peaceful co-existence) hendaklah diterapkan dalam semua lapisan masyarakat. 

Dalam masa yang sama, semua rakyat Malaysia diingatkan agar tidak melakukan perkara-perkara yang dapat menjejaskan keharmonian hidup dalam kepelbagaian penganut agama, etnik dan suku kaum”, katanya. 

Mengulas lanjut Mohamed berkata IKIM juga berharap insiden seperti ini tidak lagi berlaku pada masa akan datang dan tindakan lebih tegas perlu dikenakan sekiranya mana-mana pihak cuba mengganggu-gugat keamanan dan memecahbelahkan masyarakat terutamanya isu yang menyentuh aspek 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

WhatsApp
Scroll to Top