Putrajaya, 26 Feb (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Naim Bin Haji Mokhtar hari ini merasmikan Konvesyen Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2024 di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.
Konvensyen yang bertemakan Meneroka Rahsia Alam Melalui Ayat-Ayat Kauniyyah ini adalah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Yayasan Restu bagi menyemarak intipati al-quran dalam kehidupan dan memupuk budaya ‘cakna alam’ dan ‘selamatkan bumi’ melalui intipati al-quran.
Dalam ucapan aluan, Mohd Na’’im menekankan agar institusi masjid dan surau khususnya supaya terus diupayakan sebagai madrasah kepada masyarakat untuk mempelajari serta memahami kupasan dan tafsiran Al-Quran.
Mengulas lanjut beliau berkata, usaha-usaha kreatif dan interaktif perlu diusahakan untuk membuat pendekatan dengan anak-anak muda kini agar lebih memahami dan menghayati Al-Quran.
Bagi merealisasikan usaha ini beliau berkata kerjasama dengan pihak-pihak seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, serta lain-lain agensi boleh diusahakan untuk menghasilkan program-program yang bersifat interaktif.
Konvensyen ini telah dimulai dengan pembentangan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Azrul Azlen bin Abdul Hamid, Dekan Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang bertajuk “Kecaknaan Umat dalam Kelestarian Alam Semesta dari Perspektif Ayat-ayat Kauniyyah dan diakhiri dengan forum bertajuk “Melestari Keajaiban Langit dan Bumi: Apa Peranan Ummah”
Dalam majlis ini juga Mohd Na’im menyempurnakan majlis flag off (pelepasan) penghantaran kontena ke India sempena Kempen Infak dan Wakaf 1 juta Al-Quran.