NILAI DAN ADAB PENTING DALAM MEMBINA NEGARA BERASASKAN MAQASID SYARIAH – DATO’ NA’IM

Kuala Lumpur, 29 Feb (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar hari ini menyempurnakan perasmian penutup Seminar Pengukuhan Nilai dari Perspektif Maqasid Syariah Ke Arah Kemampanan Tadbir Urus di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC-IIUM), Kuala Lumpur.

Mohd Na’im berkata seminar ini diadakan mengambil saranan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada JAKIM dalam memainkan peranan merentasi kementerian memberi penghayatan nilai dan adab dalam membina negara berasaskan maqasid syariah.

Program ini adalah anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama ISTAC-IIUM dan Maqasid Institute Malaysia (MIM), merupakan kesinambungan daripada program Persidangan Eksekutif Minda Maqasid yang telah diadakan pada 24 Julai 2023 yang lalu dalam usaha membangunkan Modul Minda Maqasid dalam meningkatkan penghayatan nilai dalam penggubalan dasar dan polisi berasaskan Maqasid Syariah.

Dalam majlis ini juga Mohd Na’im melancarkan E-Book Modul Minda Maqasid menekankan prinsip Maqasid Syariah dalam pengukuhan nilai yang perlu diterapkan dalam penggubalan polisi dan dasar negara.

Scroll to Top