Alhamdulillah, Masih Sedar

DUNIA ini adalah tempat untuk memperhambakan diri kepada Allah dan merupakan ladang bagi menanam pahala untuk kesenangan kehidupan di kampung akhirat. Bahkan dunia ini adalah tempat persinggahan sementara sebelum tinggal secara abadi di suatu alam yang lain kelak.

Saidina Ali bin Abi Talib RA mengukir satu kata-kata yang berbunyi “Manusia semuanya tidur, ketika mati baru mereka terjaga (tersedar)” yang memberi peringatan kepada mukmin bahawa kehidupan di dunia ini jika tidak diawasi dengan peringatan demi peringatan menyebabkan manusia lupa akan peranan dan matlamat hidup sebagai seorang khalifah dan hamba Allah SWT. Di alam kubur nanti barulah manusia akan tersedar betapa penting dan bernilainya dunia ini bagi diri mereka untuk melaksanakan peranan sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi menegaskan dan mengingatkan setiap mukmin agar tidak leka dengan kehidupan yang sementara ini kerana orang yang tidak taat akan perintah Allah, malah lalai dengan kesenangan dunia serta leka mencari kekayaan dunia tanpa mempedulikan bekalan untuk negeri akhirat akan menemui penyelasan di hujung kehidupan mereka.

Tidak salah bagi mukmin mencari kesenangan, mengejar kekayaan dan memburu kejayaan dalam hidup, tetapi sebagai seorang hamba Allah SWT, hendaklah bijak mencatur keseimbangan kekayaan dunia dan akhirat. Hidup ini tidak akan berakhir di sini kerana sebagai hambaNya yang diciptakan untuk taat kepada segala perintah Allah wajib melaksanakan segala tuntutan ajaran agama kerana setiap ketaatan di dunia ini akan dibalas di akhirat nanti.

Oleh itu, dalam menjalani hidup di muka bumi ini, seseorang mukmin haruslah sentiasa sedar dan saling mengingati sesama manusia dengan cara mendekatkan diri dengan ayat-ayat al-Quran agar selalu diingatkan tentang kehidupan dunia yang sementara dan akhirat adalah tempat tinggal buat selama-lamanya. Dengan peringatan bahawa setiap apa yang dilakukan di dunia ini akan dibalas walau sebesar zarah sekalipun, pastinya akan menjentik rasa insaf dan sedar dalam diri mukmin untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan segala maksiat dan kejahatan.

Menerusi surah al Fathir ayat 37 Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan mereka berteriak di dalam neraka itu: \”Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami niscaya kami akan mengerjakan amal yang soleh berlainan dengan yang telah kami kerjakan\”. Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun”.

Apabila tiba waktunya nyawa telah bercerai dari badan, jasad sendirian di dalam kubur, roh bertemu dengan Tuhannya, pada saat itu sebesar mana penyesalan tidak akan berguna lagi. Segala kesenangan, kekayaan, pangkat dan darjat tidak membawa erti kepada sesiapa kerana  yang dipandang oleh Allah SWT hanyalah amalan kebaikan dan yang hanya dipersempahkan kepadaNya adalah ketaatan dan ketaqwaan terhadap setiap perintahNya. Oleh itu, setinggi mana sekalipun kedudukan di dunia ini jika tidak disertai dengan iman yang teguh, amal ibadah yang sempurna dan ketaqwaan terhadap agama Allah SWT, mukmin itu bukan siapa-siapa di sisi Allah SWT.

Setiap mukmin perlu sedar akan matlamat hidup di dunia ini yang bertujuan untuk beribadah kepada Allah SWT. Dengan kata lain hendaklah sentiasa mencari jalan mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui amalan-amalan yang dipandu oleh al-Quran dan al-hadis. Oleh itu, setiap mukmin hendaklah selalu memohon kepada Allah SWT agar dijauhi dengan ujian-ujian yang boleh melalaikan diri mereka dari terus mentaati perintahNya. Hidup manusia sering diuji dengan kepayahan dan kesenangan. Sama ada ujian kesulitan yang membawa kepada kufur atau ujian kenikmatan yang membawa kepada kelalaian ia perlu dijauhi kerana yang akan diangkat darjatnya adalah orang-orang Islam yang ikhlas menegakkan seruan Allah SWT dan khalifah yang takut akan azab Allah di akhirat nanti. Mereka yang bijak adalah sering mengingati mati dan selalu bermuhasabah akan kekhilafan diri melalui pintu taubat nasuha yang sering membuka ruang bagi mukmin memperbaiki diri.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 3 Mei 2018

 

WhatsApp
Scroll to Top