Wahai Pemuda, Beradablah

MENDIDIK golongan muda ke arah acuan beragama tidak sama berbanding acuan pendidikan yang lain kerana ia mengajar tentang dosa dan pahala, serta syurga dan neraka, manakala didikan lain hanya berkaitan moral kehidupan manusia. Oleh itu para ulama menggalakkan pencarian ilmu disertai dengan adab kerana dibimbangi lahirnya manusia yang berilmu namun tidak beradab kerana ia akan mendatangkan mudarat terhadap silaturrahim sesama manusia. Dengan hilangnya adab di dalam kehidupan manusia, maka hilang juga rahmat daripada Allah SWT, hilangnya perasaan kasih-sayang di kalangan manusia. Situasi ini menyebabkan sering berlakunya pertengkaran, bermusuh-musuhan akibat hilangnya akhlak dan paling menyedihkan apabila tibanya waktu hampir dengan kematian, orang yang kasar dan tidak beradab akan direntap nyawanya di saat menggigil tubuh badannya.

Melalui perkongsian oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada hari Khamis jam 5.15 petang, manusia yang menemui ajal yang mengerikan sehingga mendatangkan trauma sehingga ke alam kubur dialami oleh mereka yang hidupnya sangat kasar dan hilang akhlak, malah malaikat sendiri benci melihat wajah manusia yang tidak beradab. Saat mereka diseru kembali menghadap Allah, tidak ada belas ehsan malaikat terhadap dirinya. Tanpa sandaran terhadap adab sebagaimana yang digariskan di dalam al-Quran dan hadis, maka akan timbul masalah dan kesukaran ketika kembali menghadap Allah kelak.

Manusia beradab akan dipanggil kembali dengan perasaan lemah lembut oleh para malaikat yang mencabut nyawanya, namun dalam situasi itu pun Rasulullah seringkali berdoa agar Allah memberi pertolongan ketika berhadapan dengan kematian. Ini membuktikan bahawa hidup di dunia amat berkaitan dengan kematian kerana apabila menjalani kehidupan seolah-olah sedang melakar wajah ketika kembali menghadap-Nya. Allah SWT menciptakan Rasulullah  memiliki adab yang paling agung, tidak ada akhlak yang lebih baik dikalangan makhluk ciptaan Allah berbanding Baginda. Hidup tanpa beradab mengundang bahaya kepada manusia apabila mereka berseorangan di alam barzakh, mereka akan meruntun-runtun dan menggelupur kesakitan dengan balasan azab seksa oleh para malaikat. Bagaimana mungkin mereka akan dilayan dengan baik dan sopan sedangkan sewaktu hidup dahulu, mereka sendiri tidak berakhlak dan kasar.

Oleh itu didiklah keluarga dan generasi akan datang bukan hanya berilmu tetapi disertai adab dan akhlak. Di antaranya ialah adab dan akhlak ketika makan dan minum iaitu membasuh tangan sebelum dan selepas menjamah hidangan. Abu Daud dan al-Tirmizi meriwayatkan daripada Salman al-Farisi yang menyebut Rasulullah SAW bersabda, “Keberkatan daripada makanan itu, berwuduk sebelumnya dan berwuduk selepas makan.” Bacalah bismillah sebelum menjamah makanan dan membaca Alhamdulillah setelah selesai makan kerana ia merupakan sebahagian daripada adab yang perlu diikuti. Rasulullah SAW tidak pernah  mencaci makanan sepanjang hidupnya, Baginda akan makan sekiranya menyukainya tetapi hanya meninggalkannya sekiranya Baginda tidak selesa dengan makanan itu tanpa berkata apa-apa yang buruk terhadap makan tersebut. Selain itu makanlah dengan tangan kanan dan mula menjamah hidangan yang berada paling hadapan. Elakkan bersandar ketika makan kerana ia akan memudaratkan kesihatan.

Disunatkan juga bercakap ketika menjamah makanan sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir RA menceritakan ketika Rasulullah sedang makan, Baginda bertanya tentang lauk-pauk, “Ada lagikah lauk-lauk yang lain?” lalu dijawab oleh isteri Baginda, sudah tidak ada lagi lauk yang disimpan kecuali cuka. Kemudian Baginda meminta agar dibawa cuka tersebut dan berkata, “Sebaik-baik lauk-pauk adalah cuka.” Ini membuktikan Rasulullah menggalakkan percakapan sewaktu makan dan tidak mendiamkan diri, oleh itu golongan muda tidak seharusnya leka dengan makanan dan perkara lain terutamanya dengan telefon bimbit masing-masing ketika makan, tetapi berkomunikasilah dengan orang berada berhampiran pada waktu itu.

Malah disunatkan juga untuk mendoakan perkara yang baik-baik kepada mereka yang menghidangkan makanan, bukan hanya sekadar ucapan terima kasih sahaja. Rasulullah SAW pernah datang kepada Saad bin Ubadah, dan dihidangkan kepada Baginda roti dan minyak zaitun. Apabila selesai makan, Rasulullah menyebut, “Telah berbuka ditempat kamu orang-orang yang berpuasa. Dan telah makan makanan dikalangan kamu orang-orang yang salih. Semoga para malaikat merahmati kami semua.” Selain itu adab ketika makan ialah jangan sekali-kali makan kecuali dimulakan oleh orang yang lebih tua. Anak-anak seharusnya memastikan ibu dan bapa duduk dan makan terlebih dahulu sebelum mereka. Ini bagi mengelakkan apabila tua kelak anak-anak tidak mengendahkan ibu-bapanya kerana kesibukan, sekiranya sejak kecil lagi mereka tidak dilatih mengutamakan kedua ibu bapanya sewaktu makan.

Jangan sesekali membazir serta meninggalkan sisa makanan di dalam pinggan ketika makan. Imam Muslim daripada Anas RA meriwayatkan, sekiranya Rasulullah SAW makan, Baginda akan menjilat ketiga-tiga jarinya. Jika terjatuh makanan daripada mulutnya, akan diambil Baginda makanan tersebut dan menyuapkan kembali ke dalam mulutnya. Atau akan ditiup untuk membuang benda-benda yang melekat pada makanan yang terjatuh tersebut sebelum memakannya semula kerana menurut Baginda, jangan sesekali meninggalkan sisa makanan tersebut kepada syaitan. Malah menurut Rasulullah, kita tidak tahu di dalam banyaknya makanan yang dimakan itu yang mana satukah yang diberkati di sisi Allah SWT.  Makruh hukumnya sekiranya meminum terus daripada tempat keluarnya air seperti cerek, jag dan sebagainya sebelum menuang air tersebut ke dalam gelas atau cawan terlebih dahulu, makruh juga meniup air sebelum meminumnya. Namun cara terbaik untuk minum ialah di dalam keadaan duduk dan mengelakkan minum sambil berdiri kerana ia memudaratkan kesihatan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 15 Februari 2018
WhatsApp
Scroll to Top