Impian dan Harapan

SETIAP manusia tidak akan pernah lari dari mempunyai impian, harapan dan keinginan terhadap apa sahaja di dunia ini. Namun, bagi orang Islam yang hidupnya terpandu oleh ajaran Islam yang suci murni, dalam mengejar impian, cita-cita dan harapan biarlah setiap harapan dan keinginan itu menjadi saham akhirat yang akhirnya menempatkan seseorang mukmin di syurga Allah yang kekal abadi.

Menerusi rancangan Islam itu Indah yang bersiaran di radio IKIM setiap Rabu jam 10.00 pagi, al-Fadhil Ustaz Firdaus Subhi berkata bagi orang-orang Islam, hidup di dunia ini adalah hanya sementara sahaja kerana akhirat kelak adalah tempat yang kekal abadi. Oleh itu dalam mengejar impian dan membina harapan, seseorang mukmin haruslah menuruti panduan sebagaimana yang diajarkan oleh al-Quran dan al-hadis. Berbeza dengan orang bukan Islam, dunia ini bagi mereka adalah tempat untuk melepaskan keseronokan, sebab itulah mereka mengharapkan untuk terus hidup selama-lamanya kerana bagi mereka dunia ini adalah segala-galanya.

Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran menerusi surah al-Israk ayat 19 yang bermaksud “Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya”.

Hakikatnya dunia ini adalah tempat untuk menanam benih-benih kebaikan dan membina ladang pahala agar apabila dihidupkan di akhirat kelak, setiap kebaikan, ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah taala dibalas dengan syurga Allah yang maha indah. Oleh itu, setiap harapan dan impian itu haruslah disertai dengan niat mahu mendapat barakah dan kerahmatan dari Allah taala.

Hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ orang yang bijak adalah orang beriman yang sentiasa menghisab dan menghitung akan dirinya dan pada saat yang sama melakukan amalan-amalan yang boleh membawa sahamnya sesudah kematiannya”.  Sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat dan tabii, mereka sering meletak harapan dan impian untuk berdamping dengan baginda Rasulullah SAW.

Begitu juga dalam satu riwayat oleh Imam al –Hakim yang menukilkan tentang Saidina Umar al-Khattab saat melihat rakyatnya berhimpun dan berkumpul, lalu ditanya kepada mereka apakah yang kamu lakukan? Lalu dijawab oleh rakyatnya “ kami sangat bercita-cita dan mengharapkan sesuatu” lantas apabila Saidina Umar bertanyakan tentang apakah perkara yang dicita-citakan, kebanyakan mereka menjawab mahukan bilik yang didiami itu dipenuhi dengan zabarjad, intan permata dan emas berharga kerana dengannya akan disedekahkan atau digunakan dijalan Allah. Namun apabila tiba giliran Saidina Umar al Khattab ketika menjawab soalan dari rakyatnya ketika ditanya apakah perkara yang dicita-citakan oleh beliau, lalu Saidina Umar menyatakan dia tidak mahukan intan dan permata sebaliknya mahukan tempat mereka itu dipenuhi dengan insan-insan terbilang seperti Abu Ubaidah al-Jarah dan sahabat-sahabat yang lain agar mereka menjadi contoh teladan kepada yang lain dalam beramal kepada Allah tanpa mengharapkan balasan di dunia sebaliknya hanya ganjaran pahala dari Allah taala semata-mata.

Bagi seorang mukmin yang mendiami dunia ciptaan Allah ini, setiap perbuatan yang dilakukan hendaklah berlandaskan kepada niat yang ikhlas kerana Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang berniat menjadikan akhirat sebagai matlamat hidupnya Allah SAW akan memberi jalan dan mempermudahkan urusannya”. Oleh itu, dalam apa juga niat yang baik, kekayaan hati itu perlu agar setiap niat yang dipasang tidak terpesong dek hati yang rapuh dan mudah dipatahkan.

Orang yang kaya hati tidak akan mudah rapuh dengan kesenangan dunia bahkan Allah taala pasti akan membantunya untuk terus mengejar matlamat akhirat. Orang yang akhirat menjadi tumpuan hidupnya, dunia pasti akan datang dalam keadaan yang tunduk kepadanya. Oleh itu, setiap impian dan harapan perlulah mendahulukan kehendak Allah kerana keredhaan Allah taala pastinya akan menatijahkan kebaikan bukan hanya untuk dunia tetapi juga akhirat.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Februari 2018
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top