Adap Terhadap Guru & Teman

RAMAI di kalangan pemuda yang merasakan tidak perlu untuk menjaga adab terutamanya dengan guru, sedangkan sebagai seorang pelajar seharusnya mereka mendidik diri untuk menjaga adab dan akhlak supaya ilmu yang diperolehi beroleh keberkatan dan kekal di dalam diri mereka. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah membaca doa, “Ya Allah janganlah sampai aku menemui satu zaman ketika manusia pada saat itu tidak lagi mengikuti orang-orang yang alim, sehinggakan manusia tidak lagi segan pada orang-orang yang mempunyai akhlak yang baik. Hati-hati mereka tersebut seperti hati-hati orang yang asing dan apabila mereka berbicara seolah-olah mereka adalah ahli agama tetapi hilang akhlak dan adab di dalam hidupnya.

Oleh itu sewajarnya anak-anak diajar untuk memiliki adab iaitu dididik untuk memandang guru dengan penuh hormat dan meyakini ilmu gurunya. Ketika Imam Syafie sedang menuntut ilmu bersama Imam Malik, beliau tidak berani untuk menyelak helaian kitabnya melainkan dengan cara yang sangat perlahan kerana bimbang bunyi itu akan mengganggu gurunya. Imam Rabi’ tidak berani minum walau seteguk air sekalipun di hadapan Imam Syafie kerana sangat hormat kepada gurunya itu. Selain itu, anak-anak juga perlu belajar untuk merendahkan diri terhadap guru dan mengelakkan perasaan bongkak termasuklah ketika bercakap dengan mereka dengan bersopan santun.

Kerana sifat rendah diri ini juga Imam Syafie pernah ditegur oleh gurunya yang sangat dipandang tinggi oleh beliau. Sehinggakan pernah dibacakan syairnya yang berbunyi, “Saya sengaja merendahkan diri dihadapan mereka yang dimuliakan kerana ilmu-ilmu yang ada padanya. Dan mana-mana jiwa yang tidak pernah menghinakan dirinya, dia tidak akan merasakan kemuliaan di dalam dirinya.” Tawaduklah ketika berhadapan dengan para guru kerana apabila merasakan besarnya diri maka ia akan menyebabkan hilangnya kemuliaan pada diri mereka. Saidina Abdullah bin Abbas yang terkenal dengan ketinggian ilmunya dan sangat berhemah serta cintakan alim ulama, akan mencium peha Zaid bin Thabit al-Ansari saat beliau bertemu dengannya kerana sangat menghormati gurunya itu.

Perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm mengenai kisah Imam Ahmad yang pernah berkata kepada Khalaf al-Ahmar, “Saya tidak akan duduk melainkan di samping kamu dan beginilah yang diajar kepada kami untuk menghormati guru”. Sesungguhnya beliau tidak akan duduk sebelum gurunya duduk terlebih dahulu. Perkara lain yang perlu diberi perhatian ialah mengetahui hak guru yang perlu ditunaikan. Murid tidak seharusnya melupakan budi-pekerti dan jasa gurunya sebagaimana perilaku Imam Syu’bah terhadap guru-gurunya, katanya “Apabila saya belajar dengan para guru maka saya akan menjadi hamba terhadap mereka selama mana mereka hidup”. Ini adalah di antara contoh bagaimana seorang murid menghargai ilmu yang sangat bernilai serta meraikan jasa gurunya.

Selain itu doakan guru-guru agar dipanjangkan usia mereka dan perkara-perkara yang baik kepada diri mereka. Sesungguhnya setiap doa yang baik yang ditujukan kepada guru akhirnya akan kembali memberi kesan yang baik kepada muridnya, kerana sepuluh kebaikan yang didoakan kepada orang lain akan diganjari Allah dengan 100 kebaikan kepada dirinya. Malah jika didoakan keburukan sekalipun, Allah akan membalas bertimpa-timpa keburukan terhadap si pemohon doa tersebut. Doa buruk kepada orang yang alim juga mendatangkan akibat yang buruk sebagaimana di dalam hadis Qudsi, Rasulullah menyebut, “Sesiapa yang melakukan khianat kepada waliku, akan aku isytiharkan perang dengan orang yang sedemikian rupa.”

Adab lain yang perlu dijaga terhadap guru ialah belajar untuk bersabar dengan ketegasan mereka yang mempunyai kerenah dan sifat meninggikan suara, menengking dan sebagainya. Ibu-bapa seharusnya berpesan kepada anak-anak yang sedang menuntut ilmu agar memiliki kesabaran menghadapi kerenah guru mereka kerana sesungguhnya para alim ulama turut menghadapi situasi yang sama ketika berguru. Ketegasan seorang guru mampu mendidik anak-anak murid mereka agar menjadi orang yang berguna dan menjadi contoh terbaik pada masa akan datang. Sebahagian daripada para ilmuwan berkongsi pengalaman menghadapi ketegasan guru mereka dan menyedari tanpanya mereka akan kekal berada di dalam kejahilan. Malah sesiapa yang menuntut ilmu akan dijanjikan Allah dengan kemuliaan pada dirinya di dunia dan akhirat. Imam al-Syafie pernah berkata kepada Sufyan bin Uyainah, “Begitu ramai yang datang menuntut ilmu denganmu, tetapi seringkali kamu bersikap garang dengan mereka.” Sufyan menjawab, “Mereka adalah manusia yang bodoh sekiranya mereka meninggalkan apa yang memberi manfaat kepada mereka disebabkan perilaku burukku terhadap mereka.”

Bersopanlah ketika berada di dalam majlis ilmu bersama guru, jagalah diri agar tidak mengganggu pandangan mereka atau leka melakukan perkara lain yang melalaikan dan menghalang proses pembelajaran ketika itu. Sewajarnya memohon keizinan terlebih dahulu untuk berada di dalam majlis ilmu yang dikendalikan oleh guru yang terlibat sebagaimana yang dilakukan oleh Ibnu Abbas sewaktu ingin menuntut ilmu bersama Zaid bin Thabit. Beliau sanggup duduk menunggu dihadapan rumah gurunya sehingga diberitahu bahawa Zaid bin Thabit sedang tidur pada ketika itu dan perlukah dikejutkan daripada tidurnya. Ibnu Abbas tidak mahu gurunya diganggu dan sanggup menunggu Zaid bin Thabit bangun untuk menuntut ilmu dengannya sehingga terbitnya matahari. Ini menunjukkan betapa sabarnya Ibnu Abbas dan sangat mementingkan adab dan akhlak kepada gurunya. Selain itu, sebagai seorang pelajar harus memberi perhatian sepenuhnya terhadap setiap perkara yang disampaikan oleh gurunya, sekalipun kata-katanya itu pernah didengar sebelum itu kerana ia merupakan salah satu adab yang perlu dijaga ketika mereka sedang menimba ilmu.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 8 Februari 2018
\"\"
Scroll to Top