DALAM rancangan Topik Jumaat di radio IKIMfm yang bersiaran jam 8.30 pagi, tokoh pendakwah terkenal dunia Mawlana Sayyidi Sheikh Muhammad bin Yahya al-Ninowy Presiden Institut Pengajian Madina, Atlanta Georgia USA berbicara tentang “Melahirkan Kegembiraan dengan Kelahiran Agung”.
Antara matlamat (maqasid) agama Islam ialah agar manusia dapat menikmati kebahagiaan, dan kebahagiaan ini merupakan fitrah yang Allah SWT jadikan terhadap setiap manusia. Kegembiraan merupakan penciptaan Allah SWT, ada yang bergembira dengan dunia ini, ada yang bergembira dengan nikmat yang Allah SWT berikan. Para ulama menyebut bahawa ada dua jenis nikmat iaitu pertama nikmat kerana Allah menjadikan kita, manakala yang kedua ialah nikmah berbentuk hidayah yang Allah anugerahkan kepada orang-orang yang beriman. Jika kita bandingkan nikmat kerana “dijadikan”, maka ia merupakan nikmat yang sama seperti Allah menjadikan langit dan bumi, pokok-pokok dan bukit bukau, yang lebih utama lagi ialah manusia ini dianugerahkan oleh Allah SWT nikmat “hidayah” dan kerana hidayah tersebut mereka selamat daripada api neraka. Ada di kalangan manusia yang berseronok dan merasa gembira dengan nikmat dunia ini, dan segala kecantikan dan keindahannya lalu mereka leka daripada menyembah Allah yang menjadikan alam yang indah dan cantik ini. Ada pula di kalangan manusia yang gembira dengan kurniaan Allah SWT dan rahmat yang diberikan dan mereka menzahirkan kegembiraan mereka itu dengan bersyukur dan memperbanyakkan ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT. Tiadalah nikmat rahmat yang paling besar sekali melainkan nikmah kejadian dan diutuskan Allah Nabi Muhammad SAW sepertimana yang disebut “ Tidak kami (Allah) utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada sekalian alam” (Al-Anbiya, ayat 107).
Persoalan yang sering diperselisihkan ialah bagaimanakah cara untuk kita menzahirkan kegembiraan atas kelahiran “Rahmat Sekalian Alam” itu. Di sisi pandangan ulama Ahlul Sunnah wal Jamaah ialah dibenarkan menzahirkan kegembiraan tersebut dalam apa jua bentuk sekalipun selagi ianya tidak menyalahi syarak. Nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada itu dianjurkan untuk kita menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan kita kerana mengambil Sunnah Nabi SAW apabila Nabi SAW tiba di Madinah, Baginda SAW melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura lalu apabila ditanya kenapa kamu berpuasa pada hari ini lalu mereka menjawab “kami berpuasa kerana pada hari ini diselamatkan Musa AS daripada Firaun”. Maka Nabi SAW menjawab “kami lagi berhak berpuasa melebih kamu”.
Dalam hal ini juga menunjukkan kepada kita bahawa berpuasa itu merupakan ibadah yang paling utama dan menzahirkan kegembiraan itu dengan melakukan ibadah puasa kerana puasa itu bagi Allah SWT sedangkan solat, zakat dan lain-lain adalah untuk diri kita sendiri.
Imam al-Tabarani menyebut kitabnya “al-Mu’jam al-Awsat” dengan sanad yang Hasan bahawa Baginda SAW melaksanakan aqiqah untuk dirinya sendiri selepas beliau diangkat menjadi Rasul dalam usia yang sekitar 40 tahun itu. Kita juga sering mendengar Baginda SAW apabila ditanya kenapa Baginda berpuasa pada hari Isnin? Maka Baginda SAW mejawab “ia adalah hari aku dilahirkan”. Jika Baginda SAW bergembira atas kelahirannya dan memperuntukkan ibadat yang utama iaitu berpuasa setiap minggu untuk bergembira dan menzahirkan kesyukuran atas kelahirannya, kenapa pula kita umat Islam tidak mahu bergembira dan menentang orang yang mahu bergembira di atas kelahiran agung ini?
Al-Qur’an bercakap tentang kelahiran Maryam AS, kelahiran Nabi Isa AS, kelahiran Nabi Yahya AS. Al-Qur’an bercakap tentang hari kelahiran-kelahiran insan yang mulia dan agung ini. Jika ia bukannya hari yang penting, nescaya tidak disebutkan oleh Allah SWT. Hari-hari kelahiran ini bukan semata-mata hari kelahiran insan tersebut, tetapi kelahiran atau permulaan agama dan akhlak Islam itu dizahirkan ke atas manusia sejagat dan masyarakat setempat. Oleh itu marilah sama-sama kita terus menzahirkan kegembiraan kita terhadap kelahiran insan agung Nabi Muhammad SAW bukan menunggu 12 Rabiul Awwal sahaja, tetapi sepanjang masa dan ketika selagi hayat dikandung badan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 Januari 2018