Saidina Uthman ibn Affan

DALAM sejarah kenabian, tidak pernah ada seorang pun yang pernah berkahwin dengan anak seorang nabi sebanyak dua kali kecuali Saidina Uthman ibn Affan. Kerana itu juga beliau digelar ‘Dzulnurain’, orang yang memiliki dua cahaya mata, iaitu mengahwini dua cahaya mata Rasulullah SAW. Beliau merupakan antara sahabat yang paling akrab dengan baginda Nabi SAW. Beliau merupakan orang yang memiliki dua hijrah kerana orang pertama yang berhijrah ke Habsyah dan tergolong di kalangan mereka yang berhijrah ke Kota Madinah. Beliau juga merupakan pengumpul kepada al-Quran. Beliau juga merupakan salah seorang guru al-Quran kepada kita kerana bacaan al-Quran yang kita baca kini merupakan rantaian yang bersambung dengan didikan oleh Saidina Uthman ibn Affan. Menerusi segmen Hayatus Sahabah, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi kisah mengenai Saidina Uthman ibn Affan.

Saidina Uthman merupakan seorang yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi kaumnya ketika zaman jahiliyyah. Beliau mempunyai harta yang banyak, kedudukan yang baik dan rupa paras yang sangat baik. Keseluruhan itu ditambah lagi dengan ketinggian akhlak dan tawaduknya sehingga beliau juga dikenali dengan orang yang sangat pemalu. Beliau tidak pernah sesekali minum arak ketika di zaman jahiliyyah. Beliau sangat dicintai oleh kaumnya sehinggakan apabila mereka ingin menyatakan kasih sayang kepada seseorang yang lain, mereka jadikan Saidina Uthman nama yang disebutkan. Pernah seorang ibu yang sedang mengendong anaknya dan ingin menyatakan cintanya kepada anak tersebut dengan berkata “aku sangat mencintaimu wahai putraku, demi Tuhan ar-Rahman. Kecintaanku terhadapmu sama sebagaimana cintanya orang-orang Quraisy terhadap Uthman.”

Apabila Islam mula bersinar di Kota Makkah, Saidina Uthman ibn Affan antara yang terawal mengecapi nikmat Islam itu, menerima cahaya hidayah yang dibawa oleh Baginda SAW. Ia bermula saat Saidina Uthman ketika zaman Jahiliyyah, beliau mendengar bahawa Nabi Muhammad SAW mengahwinkan puterinya, Ruqaiyah kepada anak bapa saudaranya, ‘Utbah binti Abi Lahab. Maka ketika itu, Saidina Uthman sangat kecewa kerana tidak dapat mengahwini Ruqaiyah sedangkan Ruqaiyah merupakan seorang yang baik akhlak dan penampilan yang baik. Mana-mana orang muda sangat bercita-cita ingin mengahwini Ruqaiyah.

Dalam kekecewaan itulah, Saidina Uthman telah memasuki rumah ibu saudaranya, Su’da bin Quraiz. Su’da pada ketika itu menyampaikan berita yang sangat menggembirakan Uthman. Beliau berkata akan munculnya seorang nabi yang akan membatalkan seluruh penyembahan-penyembahan berhala. Su’da juga bersungguh-sungguh meyakinkan Uthman mengenai berita itu dan Nabi itu sudahpun hampir tiba. Beliau juga menggalakkan Uthman agar mencari peluang berjumpa dengan nabi itu kerana sesiapa yang bertemu dan beriman dengannya akan beroleh kemuliaan. Su’da juga katakan, kamu akan beroleh apa sahaja yang kamu ingin dan dambakan.

Setelah Saidina Uthman mendengar apa yang dikatakan oleh Su’da, beliau berfikir dan kata-kata itu meresap ke dalam jiwanya. Saat itu, beliau terserempak dengan Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Beliau menceritakan apa yang dikhabarkan oleh Saidina Abu Bakar apa yang diceritakan oleh ibu saudaranya itu. Maka Abu Bakar berkata kepada Saidina Uthman “Demi Allah! Benar apa yang dikatakan oleh ibu saudaramu itu. Wahai Uthman, sesungguhnya engkau seorang yang berakal dan bijak. Engkau tidak akan tertipu dengan tipu daya. Cuba engkau fikirkan wahai Uthman, berhala apakah ini yang disembah oleh kaum kita. Ia hanyalah batu-batu dan kayu-kayu yang dipahat dan dibentuk. Tidak mampu mendengar dan melihat.” Saidina Uthman kemudian berkata “Benar wahai Abu Bakar.” Saidina Abu Bakar memberitahu bahawa orang itu ialah Muhammad bin Abdullah.

Maka berkata Saidina Uthman “Wahai Abu Bakar, bolehkah awak temankan saya bertemu dengan Nabi tersebut.”. Kedua-duanya lantas keluar menuju ke rumah Baginda Nabi SAW.  Tatkala Baginda melihat ketibaan Saidina Uthman, lantas Baginda berkata “sahutlah seruan Allah, sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepada kalian secara khusus dan aku adalah utusan Allah kepada seluruh umat manusia secara umum. Uthman berkata “Demi Allah, tatkala mata aku melihat kepada Rasulullah SAW dan tatkala telinga ku mendengar apa yang dikatakan olehnya, hatiku rasa tenang sekali. Aku membenarkan kerasulan dan menyakini akan kebenaran yang disampaikan oleh Baginda. Beliau kemudian mengucapkan dua kalimah syahadah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 Januari 2018
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top