ALLAH SWT menyatakan bahawa terdapat satu makhluk yang manusia tidak nampak tetapi ia wujud di dunia ini iaitu Iblis. Iblis dan keturunannya Syaitan diciptakan oleh Allah SWT daripada api. Malah, syaitan tidak perlu bekerja keras untuk menyesatkan manusia yang lemah kepercayaannya terhadap kekuasaan Allah dan kerana itulah Allah SWT mengajak manusia agar sentiasa memohon pertolongan daripada Allah dari gangguan Syaitan. Sebagaimana Allah berfirman yang bermaksud “Dan jika syaitan datang menggodamu,maka berlindunglah kepada Allah. Sesungguhnya ,Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui.(Surah Al-A’araf, ayat 200) .
Perkara kepentingan kekeluargaan yang harmoni ini dibicarakan oleh al-Fadhil Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra di radio IKIMfm setiap Isnin jam 10.15 pagi. Salah satu cita-cita syaitan di atas muka bumi ini adalah berusaha untuk menghancurkan rumahtangga yang dibina. Sifat merasakan berpada dengan apa yang ada atai disebut “qana’ah” adalah satu sifat yang cukup penting bagi mewujudkan suasana rumahtangga yang tenang dan bahagia. Allah SWT tidak menguji sesebuah perkahwinan melainkan untuk mentarbiah setiap pasangan agar menjadi manusia yang lebih baik dan mulia. Apakan daya, memang menjadi tabiat manusia, jika diberi sedikit sentiasa tidak pernah cukup dan puas, tidak mahu bersyukur dan sentiasa meminta tambahan yang banyak. Dan apabila diberi banyak pula, tidak pernah tahu berterima kasih dan bersyukur. Sebagai seorang mukmin, sifat bertimbang rasa sememangnya dituntut untuk ditunaikan. Kebiasaannya mereka yang tidak memiliki sifat terpuji ini, tiada rasa rahmat dan penyayang dalam dirinya. Oleh kerana bisikan syaitan, mereka hanya mementingkan diri sendiri. Sebuah rumahtangga yang harmoni adalah seseorang sama ada suami mahupun isteri yang sanggup berkorban walau apa jua badai yang melanda. Misalnya, suami perlu bertimbang rasa kerana keletihan isteri bekerja dan menguruskan rumahtangga, tidak mengharapkan layanan kelas pertama tanpa memberi bantuan untuk melaksanakan secara bersama kerja-kerja rumah
Dalam misi menghancurkan mahligai yang dibina, syaitan turut membisikkan hati pasangan suami isteri agar rasa sentiasa betul. Islam mengajar kita berlapang dada memberi maaf kepada orang yang telah berbuat salah. Dalam rumah tangga kadangkala wujud perselisihan, perbezaan pendapat, atau hal-hal yang tidak disukai dilakukan oleh seseorang kepada pasangannya. Yang paling berbahaya apabila jika salah seorang di antara mereka tidak meminta maaf terlebih dahulu. Situasi seperti ini sangat berbahaya kerana syaitan akan menghembuskan benih-benih perselisihan. Kebijaksanaan suami isteri dalam mengendalikan rumah tangga adalah aspek yang paling penting dalam menjaga kerukunan sebuah keluarga kerana di antara unsur yang boleh mengganggu hubungan kasih sayang ialah kegagalan pihak suami atau isteri dalam menjaga rahsia rumahtangga di mana banyak sekali rumah tangga yang kucar-kacir disebabkan suami atau isteri yang bersikap suka menjaja dan menyebarkan rahsia pasangannya kepada orang lain.Oleh yang demikian, demi menjaga kerukunan rumahtangga, setiap pasangan dinasihatkan tidak terpedaya dengan bisikan syaitan agar mengunkit-ungkit dan membuka keaiban sesama mereka.
Suami isteri mempunyai tanggungjawab yang jelas dan saling memerlukan antara satu sama lain. Ikatan tanggungjawab ini diperkukuh dengan kasih sayang kerana Allah SWT berfirman yang bermaksud: ..dan jadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang… (Surah al-Rum,ayat 21) Apa yang menyedihkan, disebabkan mudah terpengaruh dengan bisikan syaitan, apabila salah seorang pasangan yang saling cinta mencintai semasa berkahwin itu melakukan kezaliman terhadap pasangannya yang satu lagi. Sedangkan, dalam Islam, suami yang mendera isterinya secara sengaja atau tidak tetap melakukan suatu dosa kerana tugas utama suami ialah melindungi isterinya dan bukan menyakiti. Syaitan akan mendatangi sesiapa sahaja. Hanya iman yang teguh dan mantap sahaja dapat menangkisnya. Oleh itu sebagai pendinding, kita hendaklah sentiasa membiasakan diri dengan berzikir dan beristighfar agar hati tidak mudah lalai dan terpesong. Begitu juga hadis dari Nabi Muhammad SAW yang menyebut secara khusus tentang anjuran dan kelebihan memberi salam sebelum memasuki rumah. Ini juga salah satu cara untuk mengelakkan daripada iblis dan jin turut sama masuk bersama kita dan menggangu gugat keharmonian rumahtangga melalui bisikan-bisikan yang menghasut.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 November 2017