Nikmat Masa

MASA adalah di antara nikmat yang paling besar dalam hidup manusia. Nabi Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara”. Salah satu daripada lima perkara itu adalah ‘hidup sebelum mati’, justeru dalam hidup ini di antara perkara yang paling berharga dan penting adalah berkaitan masa.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm hari Rabu pukul 10.00 pagi, al-Fadhil Ustaz Firdaus Subhi berkongsi bahawa waktu adalah modal dalam kehidupan seseorang mukmin. Sekiranya seseorang manusia tidak mengambil kesempatan menggunakan peluang masa yang ada dengan bijak, mereka akan mendapat  kerugian bukan hanya di dunia tapi juga akhirat kelak. Ibarat seseorang mukmin yang membeli barang, tetapi jika tidak tahu menggunakan barangan tersebut, ianya hanya mendatangkan kerugian sahaja.

Apabila berbicara tentang perkara berkaitan masa. Sesungguhnya Allah SWT telah mengingatkan manusia dalam ayat al Quran surah As- Ashr yang bermaksud “Demi masa, Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati dengan kesabaran”. Ciri-ciri manusia yang untung telah diperjelaskan oleh Allah SWT dalam ayat suci al-Quran untuk mengingatkan manusia betapa pentingnya nikmat masa kepada manusia.

Iman Hassan al Basri menukilkan tentang kepentingan masa melalui kata-kata peringatan yang berbunyi “Wahai anak adam, sesungguhnya kamu terdiri daripada bilah-bilah hari yang apabila sebahagian dari waktu dari diri kamu telah pergi, bermakna sebahagian lagi dari diri kamu akan pergi menemui Allah SWT”. Kata-kata tersebut adalah satu peringatan kepada mukmin agar menggunakan masa sebaik mungkin untuk memperhambakan diri kepada Allah dan melaksanakan amal ibadah kepadaNya.

Sementara itu, dalam ayat suci al-Quran menerusi surah al Furqan ayat 64, Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan orang-orang yang menghabiskan waktu malam untuk beribadah kepada Tuhan mereka dengan bersujud dan berdiri”. Justeru waktu siang dan malam adalah dua makhluk Allah yang tidak akan terpisah di antara keduanya. Baik malam atau siang, keduanya berhubung melalui masa. Oleh itu, dengan adanya siang dan malam adalah untuk mukmin mencari kebaikan, keberkatan dan manfaat untuk mengingati Allah SWT. Seseorang mukmin yang masanya diberkati akan selalu berkecukupan waktu dalam kehidupan yang dijalani sama ada dengan urusan-urusan duniannya mahupun urusan akhirat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai keutamaan atau fokus dalam hidupnya, Allah akan menjadikan kepadanya kekayaan dalam kehidupannya, bahkan dunia juga akan datang dan tunduk kepadanya. Dalam waktu itu, Allah SWT menghimpunkan kesulitannya, digantikan dengan segala yang memudahkan urusan kehidupan”. Setiap perkara yang mengutamakan urusan akhirat atau Allah SWT sebagai keutamaan akan diberi keberkatan dan kebaikan.

Justeru, orang yang sentiasa mengingati Allah SWT dengan cara berterima kasih dan bersyukur atas segala anugerah dan kurniaan Allah SWT, akan mendapat nikmat keberkatan waktu dan dipermudahkan segala perkara di dunia ini. Oleh itu, pentingnya bagi seseorang mukmin untuk sentiasa merasa syukur dengan apa yang dimiliki kerana dengan rasa syukur itu Allah akan menambah lebih banyak nikmat-nikmat yang lain.

Dalam melalui lurah-lurah waktu yang tidak seorangpun tahu berapa banyak lagi nilai usia yang masih tersisa, seseorang mukmin wajar sahaja menguruskan kehidupan dengan cara yang bijaksana dan mengikuti amalan-amalan yang diajar oleh Rasulullah SAW dan para salikin. Setiap hari hendaklah dimulakan dengan niat yang baik kerana Allah. Umpamanya dengan berdoa \”Ya Allah, berkatilah hidupku dengan kebaikanMU, berkatilah waktuku dengan mengingatiMu dan penuhi hariku dengan KeberkatanMu”. Waktu-waktu yang diisi dengan beramal kepada Allah pasti akan ada ganjaran yang akan mengubah manusia menjadi insan yang soleh.

Sebaiknya masa yang Allah kurniakan, hendaklah digunakan untuk menyusun manfaat kepada diri sendiri, menyebarkan kebaikan untuk dimanfaatkan oleh orang lain dan dalam masa yang sama kebaikan yang dilakukan dikongsi oleh insan-insan yang lain terutama anak-anak yang merupakan penjana saham kebaikan agar terus mengalir walaupun kedua orang tua telah tidak ada lagi di dunia ini.

Waktu yang diabaikan didunia ini barangkali hanya satu kekurangan di dunia dan masih ada waktu untuk bertaubat. Tetapi waktu yang tidak dimanfaatkan dengan mengabdikan diri kepada Allah adalah satu penyelasan abadi kerana di akhirat kelah telah tertutup segala pintu taubat dan tidak ada lagi jalan untuk kembali. Sesungguhnya, dalam hidup ini masa terus bergerak, waktu yang pergi tidak akan kembali lagi. Oleh itu manfaatkan masa yang berbaki ini dengan perbuatan yang akan meninggikan darjat kita di sisi Allah azawajala.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 November 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top