LIDAH adalah alat komunikasi penting dalam menjalin hubungan mesra antara masyarakat manusia di dunia. Ia juga untuk menyebar ilmu dan banyak lagi manfaat lain. Sebaliknya, lidah boleh jadi bahaya, kerana boleh digunakan untuk memecah belahkan masyarakat, memfitnah, mencaci, mengumpat dan sebagainya.
Justeru, Islam memberi perhatian serius terhadap penjagaan lidah. Peri pentingnya penjagaan lidah itu sehingga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa diam dia berjaya”(Hadis riwayat al-Tirmizi). Al-Quran mengingatkan bahawa setiap ucapan yang diucapkan seseorang tidak akan terlepas daripada catatan malaikat-Nya. Allah berfirman yang bermaksud: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf, ayat 18). .Perbuatan mencaci misalnya, sebenarnya secara tidak langsung menampakkan peribadi kita (akhlak kita) seperti tidak sabar, pemarah, panas baran dan sebagainya. Akibatnya orang yang dicaci akan mendapat aib (kerana menjatuhkan air mukanya). Allah swt berfirman yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi) yang telah mencaci Nabi Musa, lalu Allah membersihkannya dari segala cacian yang mereka katakan dan adalah dia seorang yang mulia di sisi Allah. (Surah Al Ahzab, ayat 69). Ayat tersebut semestinya menggambarkan bahawa jika kita beriman kepada Allah dan para Rasul , elakkan diri kita tergolong di kalangan mereka yang bersifat suka mencaci antara satu sama lain.
Islam adalah agama agama yang mulia. Seluruh etika kehidupan diatur oleh agama Islam. Dalam Islam, tiada seorang pun yang dibenarkan mencaci umatnya yang lain. Ini disebabkan mencaci merupakan perbuatan yang dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya. Perbuatan mencaci termasuklah menyakiti, mencela, mengadu domba serta senang menyebarkan gosip yang tidak tepat, mencemarkan nama baik sehingga merosak maruah martabat saudaranya dan membuka rahsia peribadi yang tidak patut diketahui oleh orang lain.
Ketika membicarkan tajuk “ 40 Ayat Tentang Keluarga” Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada hari Isnin jam 10.15 pagi minggu lalu berkata mereka yang menjadi mangsa cacian perlulah mentafsirkan kehidupan ini dengan betul. Adalah menjadi lumrah kehidupan, tidak semua perbuatan yang kita akukan walaupun baik atau tidak, pasti melalui persepsi negatif atau kata-kata yang berbentuk cacian oleh orang lain di sekeliling.Perkara tersebut berlaku adalah kerana wujudnya perbezaan nilai. Oleh yang demikian, individu yang dikeji atau dicaci perlu mengaharunginya dengan sabar. Mungkin hal ini sangat berat dilakukan, kerana hinaan dan cacian seringkali dikaitkan dengan harga diri sehingga jelas sangat menyakitkan dan menyinggung perasaan. Ketika berdepan situasi ini, pastilah kebanyakan orang akan berusaha membalasnya dengan lebih kejam atau setidaknya dengan perbuatan yang sama. Seperti contohnya : ketika kita dicela, pastilah kita ingin membalasnya dengan mencela, ketika dimalukan , maka kita akan membalas dengan memalukan orang tersebut, dan ketika dihina, maka kita pun pasti ingin menghinanya kembali. Namun apa yang akan terjadi jika keburukan dibalas dengan keburukan? Ketika ada yang menghina atau mencaci, maka janganlah membalas perlakuan buruk orang tersebut.Justeru, bersabarlah dan ikhlaskanlah hati semata-mata kerana Allah swt dalam apa jua tindakan dan perlakuan kita agar dapat melakukan sesuatu perkara itu dengan penuh istiqamah. Tidak dinafikan, salah tanggapan atau atau salah sangka terhadap sesuatu keadaan sering wujud dan tidak dapat kita lari dalam kehidupan yang penuh mencabar ini. Oleh itu, cubalah sedaya upaya untuk mengelakkan diri daripada terjerumus dengan sifat berburuk sangka antara satu sama lain kerana ia mendatangkan dosa.
Seterusnya , Muhammad menerangkan bahawa jika seseorang itu baik, tidak semua tempat dia akan menjadi baik, dan jika seseorang itu jahat, tidak semua tempat dia akan menjadi jahat. Dalam erti kata lain, perbaikilah akhlak kita ke tahap yang lebih baik dari semasa ke semasa.Mencaci merupakan sifat oarng yang fasiq.Oleh itu, apabila kita dijadikan bahan cacian, jangan lemah semangat serta tidak sesekali terhibur dengan apa yang kita perolehi . Sebaliknya, tingkatkan amalan kita dan merapatkan diri kepada Allah swt..Sesungguhnya bisikan syaitan akan mempengaruhi untuk seseorang itu mencaci. Bagi menghindarkan sifat tercela ini, perbanyakkanlah beristighfar kepada Allah dengan kalimah La Ilaha Illallah. Di samping itu, bagi memastiakn sifat tersebut tidak dimiliki turut dianjurkan agar kita menyucikan hati dengan iman dengan memohon keampunan daripada Illahi. Alangkah eloknya kita menutup bicara kali ini dengan sebuah pesanan daripada Hujjah Al-Islam Al-Imam Ghazali RA di dalam kitabnya Bidayah Al-Hidayah mengenai peranan lidah dan fungsinya: \”Manakala lidah; hanyalah ia diciptakan bagi kami agar kamu memperbanyakkan zikrullah dengannya, membaca kitab-Nya, menunjukkan makhluk Allah SWT ke arah jalan-Nya dan menzahirkan apa yang terlintas di hati nurani engkau daripada keperluan agama dan dunia engkau. Apabila engkau menggunakan ia selain daripada peranannya itu, sesungguhnya engkau telah mengkufuri Allah pada nikmatnya kerana ia adalah orang yang paling utama bagi engkau dan segala makhluk. Tidaklah manusia itu tersungkur menjunam ke dalam neraka melainkan hasil daripada kejahatan lidahnya.\”
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Oktober 2017