PARA ulama membahagikan fasa umur manusia kepada beberapa masa yang tertentu di dalam hidup agar mereka menyedari saat-saat yang dilalui dan tidak terleka di dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Sebaimana firman Allah di dalam al-Quran, surah al-Munafiquun, ayat 9: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”
Menerusi perkongsian di dalam slot Mau’izati di IKIMfm Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menjelaskan tentang kandungan ayat di dalam surah al- Mukminuun, ayat 12-14: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan \”pati\” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”
Ketika manusia masih berada di dalam rahim ibu, malaikat dihantar oleh Allah untuk ditiupkan roh ke dalam kandungan si ibu serta dituliskan tentang empat perkara. Iaitu mengenai rezeki, ajal, amalan dan balasan syurga atau neraka. Di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, “Tidak ada tuhan melainkan Allah, ada dikalangan manusia yang beramal dengan amalan ahli syurga sehinggakan dirinya dengan syurga itu hanya sejengkal jaraknya. Tiba-tiba apabila hampir dengan kematian, terbalik suratan kitabnya dan beramal dengan amalan ahli neraka. Lalu dia mati dan dimasukkan ke dalam neraka. Dan ada di kalangan kamu yang hidupnya, beramal dengan amalan ahli neraka sehingga dirinya dengan neraka sangat dekat, hanya sejengkal jaraknya. Tiba-tiba berubah suratan kitabnya, di akhir kehidupannya beramal dengan amalan ahli syurga dan mati, lalu dia dimasukkan ke dalam syurga Allah.”
Imam Ibnu al-Jauzirah menyebut, pada ketika manusia dilahirkan di dunia, di bahagikan umurnya kepada lima fasa. Sejak mula dilahirkan manusia menghadapi 99 perangkap kematian, ada yang dapat menghadapinya sehingga akhir, manakala ada yang tidak sempat menghabiskan tempoh tersebut lalu menemui kematian. Fasa pertama di dalam kehidupan manusia sewaktu melalui zaman kanak-kanak iaitu ketika bayi sehinggalah mereka mencapai usia 15 tahun. Fasa kedua ketika muda, iaitu ketika berumur di antara 15 tahun sehingga 35 tahun. Fasa ketiga apabila manusia dewasa bermula ketika 35 tahun sehingga berumur 55 tahun. Manakala fasa keempat iaitu apabila manusia menjadi tua, berumur di antara 55 tahun sehingga 70 tahun. Fasa kelima pula ialah apabila manusia menempuhi usia bangka, iaitu berumur di antara 70 tahun sehingga akhir hayat yang dikurniakan Allah kepada mereka.
Apabila manusia mencapai usia 20 tahun sehingga 40 tahun, mereka melalui tempoh diganjari dengan kurniaan duniawi daripada Allah. Namun setelah mencapai usia 40 tahun, seharusnya jadikanlah amalan dengan membaca doa, “Yang telah Kamu berikan kepadaku dan ke atas kedua ibu-bapaku, ya Allah tolong kurniakan kepadaku satu amalan yang kamu redha di dalam hidup ini.” Firman Allah di dalam surah al-Ahqaaf, ayat 15: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: \”Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.
Sewajarnya pada usia 40 tahun, manusia tidak lagi sibuk mengejar sesuatu urusan dunia atau berasa gembira dengan hal ehwal keduniaan semata-mata dan tenggelam di dalam kelalaian diri. Sebaliknya bersedialah untuk menghadapi kematian yang semakin hampir dan mengubah ketentuan atau qada yang telah ditetap ketika disuratkan semasa berada di dalam kandungan ibu iaitu qada yang tidak baik kepada qada yang lebih baik. Qada yang lebih baik akan menjamin diri menghuni syurga pada Hari Akhirat kelak. Maka istiqamahlah dengan agama dan sentiasalah berdoa kepada Allah.
Sheikh Wahab bin Munabbih pernah membaca di dalam beberapa buah kitab dan berkata, “Bahawasanya satu suara akan menyeru dari langit keempat pada setiap pagi yang memanggil, “Wahai manusia yang berusia 40-an, kamu adalah tanaman yang telah dekat masanya untuk dituai. Lalu wahai manusia yang berumur 50-an, sudahkah kamu mengira apa yang sudah kamu lakukan dan apa yang belum kamu lakukan. Wahai manusia yang umurnya 60-an tidakkah kamu tahu bahawa tidak ada lagi alasan buatmu. Alangkah baiknya jika semua makhluk tidak diciptakan ataupun jika mereka telah dicipta, sebaiknya mereka mengetahui mengapa mereka telah diciptakan. Berhati-hatilah, saat kamu telah tiba. Jaga-jagalah diri kamu semua.”
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Oktober 2017