RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin itu akan ditanya tentang kepimpinannya”. Pemimpin adalah seorang yang memegang amanah bertanggungjawab ke atas tanggungjawab yang dipikulnya. Maka apa yang terletak dibawah perlindungannya adalah dituntut untuk berlaku dengan adil dan saksama.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di IKIMfm pada hari Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata untuk menjadi seorang pemimpin perlu kepada ilmu kerana dengan ilmu, mereka akan dapat menjadi seorang pemimpin yang baik. Justeru, untuk mendapatkan ilmu seseorang pemimpin perlulah belajar kerana pemimpin yang baik akan sentiasa belajar dari apa sahaja kerana dengan ilmu akan menjadikan seseorang berhikmah.
Jika menyelak sejarah manusia, sejak zaman Nabi Adam a.s ketika menjadi khalifah telah dibekalkan ilmu oleh Allah SWT, begitu juga Rasulullah SAW yang menjadi Rasul, kepimpinan dan ilmu baginda telah dididik Allah SWT.
Imam as-Shafei berpesan “belajarlah kamu sebelum menjadi pemimpin”. Ini kerana ruang lingkup seorang pemimpin itu amat luas. Ilmu adalah persiapan bagi seseorang manusia sebelum bertindak menjadi seseorang pemimpin. Kerana dengan ilmu akan meningkatkan kefahaman seseorang pemimpin terhadap tugas dan tanggungjawabnya. Orang yang berilmu tidak akan berhenti untuk terus belajar kerana orang yang berhenti belajar maka terhentilah ilmunya.
Dalam kehidupan kita, tidak ada seorang pun yang terlepas menjadi pemimpin. Dengan kata lain, setiap orang terlibat sebagai pemimpin, Sama ada pemimpin kepada isteri dan anak-anak, pemimpin kepada adik beradik, pemimpin kepada rakyat jelata atau pemimpin di mana-mana organisasi, malah menjadi pemimpin kepada diri sendiri. Untuk menjadi pemimpin perlulah ada ilmu tentangnya kerana seseorang pemimpin yang berkesan akan faham tentang tugas dan peranannya sebagai seorang khalifah di muka bumi ini.
Dengan ilmu, menjadikan seseorang pemimpin mendapat keberkatan dalam kepimpinannya. Begitu juga orang yang sentiasa menjaga adab dalam menuntut ilmu. Adab yang terpelihara dengan gurunya dan agamanya akan memberi keberkatan kepada seseorang.
Sesungguhnya orang yang menjaga setiap adabnya dalam menuntut atau memperolehi ilmu akan diberkati Allah SWT. Adab yang baik dalam mendapat ilmu yang pastinya akan menambah barakah dalam hidupnya.
Ilmu yang berakah akan mendapat kebaikan yang bertambah-tambah seperti dengan ilmu akan mengenalkan seseorang tentang aib diri. Orang yang kenal aib diri akan selalu memuhasabah diri sendiri sehinggakan apabila menghisab diri tidak mampu lagi melihat tentang aib orang lain. Justeru orang yang selalu memandang tentang kekurangan diri tidak akan mampu melihat kesilapan orang lain dan ini akan menyebabkan kurang berlaku pergeseran dalam setiap perhubungan.
Begitu juga ilmu yang berkah akan menambah kecintaan terhadap Allah SWT. Orang yang mencintai dan mendapat kecintaan Allah SWT akan sentiasa mengisi ruang hidupnya dengan perbuatan yang berfaedah. Sentiasa mencari jalan untuk melakukan amal ibadat yang akan mendekatkan dirinya dengan Allah SWT.
Namun, orang yang ilmunya tidak berkat atau tidak berusaha mengisi dirinya dengan ilmu umpama padang pasir yang hanya dipenuhi pohon-pohon kering yang tidak bermanfaat. Bagaimanapun adab dalam menuntut ilmu adalah tuntutan atau perkara yang penting kerana adab itu umpama air yang mengalir yang akan menyuburkan pohon-pohon yang dahagakan air di tanah gersang.
Bahkan orang yang penuh dengan cirri adab, tinggi yang ilmu akan terlihat daripada akhlak dan sifat tawaduk yang tinggi. Seperti akhlak Imam as-Shafei yang menyebut bahawa “setiap kali aku menuntut ilmu aku merasa semakin tidak tahu”. Ini adalah nilai bagi seseorang insan yang dapat diumpamakan seperti resmi padi iaitu semakin tinggi semakin tunduk.
Ilmu yang berkat dengan adab yang tinggi pastinya menjadikan seseorang itu dipenuhi akhlak dan pengetahuannya yang penuh dengan hikmah. Setiap perbuatan dan tindak tanduknya akan terpandu oleh nilai-nilai hikmah yang penuh kebaikan. Justeru, dalam menuntut ilmu perlulah seiring dengan adab yang akan memberi keberkatan dalam setiap ilmu yang dituntut.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 19 Julai 2017