SUDAH lebih seminggu kita berada di bulan Syawal. Mereka yang pulang beraya di kampung juga telah pun pulang ke rumah masing-masing. Para pekerja juga telah pun kembali bekerja. Namun menjadi tradisi masyarat kita di negara ini yang terus merayakan kemeriahan Syawal ini hingga sebulan lamanya. Mengulas berhubung dengan sambutan majlis rumah terbuka yang diadakan sepanjang Syawal ini, Prof. Madya Dr. Syarifah Hayaati Syed Ismail dalam rancangan Tarbiyyah di radio IKIMfm yang disiarkan pada hari Jumaat jam 10.15 berkongsi tajuk perbincangan “Sesuci Hati Sesuci Lebaran”.
Ramadan ialah bulan melahirkan insan-insan bertaqwa iaitu insan yang memiliki hati-hati yang suci bersih. Oleh kerana itu jangan dicemari sambutan Rumah Terbuka sempena Aidil Fitri ini dengan perkara-perkara yang kotor yang boleh merosakkan kesucian dan kemurniaan Syawal. Ada kebaikannya apabila kita mengadakan rumah-rumah terbuka sepertimana amalan masyarakat Islam di negara kita ini. Antaranya ialah, kita masih boleh terus menyumbang, bersedekah kepada anak-anak yatim dan fakir miskin dan mereka masih diraikan. Kita juga dapat terus mengeratkan tali silaturrahim dan saling bermaafan antara satu sama lain.
Didiklah hati sepertimana kita telah mendidik hati kita di sepanjang bulan Ramadan untuk menjaga kesuciannya agar Syawal ini dan bulan-bulan selepas ini terus terpelihara. Antara yang perlu dijaga ialah kita tidak mengumpat kepada tuan rumah yang kita kunjungi. Seringkali terjadi apabila kita membanding-bandingkan antara satu rumah dengan rumah yang lain. Membandingkan dari segi juadah rumah mana yang lebih sedap dan enak dimakan, atau anak-anak pula membandingkan rumah mana yang telah memberi wang raya lebih banyak. Lalu terpacul kata-kata yang tidak enak atau disebut mengumpat yang jika didengari oleh tuan rumah ianya akan menyinggung perasaan mereka. Kita hendaklah mendidik anak-anak agar menjaga lidah mereka.
Antara cara untuk membersihkan hati ialah menyambung silaturrahim ini seperti mana mafhum Hadith Baginda SAW yang menyuruh menyambung silaturrahim. Hal ini mungkin sukar dilakukan di bulan Ramadan dan bulan-bulan lain, tetapi ianya dapat dilakukan dalam bulan Syawal apabila kita saling kunjung mengunjung dan bermaafan antara satu sama lain. Diriwayatkan juga ada mafhum hadith Baginda SAW yang menyebut bagaimana berbuat kebaikan itu akan memanjangkan umur dan dalam riwayat lain disebut menyambung silaturrahim itu boleh memanjangkan umur. Panjang usia bukan dalam erti penambahan angkanya atau tahunnya, tetapi ia membawa maksud penambahan barakah kepada umur bagi seseorang itu. Apabila kita bersilaturrahim ia akan menambah kualiti umur kita tanpa kita sedar. Umur seorang yang usia 30 tahun misalnya, seperti orang yang telah beramal 40 tahun, inilah yang dimaksudkan dengna penambahan umur, iaitu penambahan barakah pada umur. Mengeratkan tali silaturrahim ini merupakan anjuran Islam sepanjang masa namun ia mungkin sukar dilaksanakan di bulan-bulan lain kerana kita jarang bertemu dan sibuk dengan tugasan masing-masing, lalu bulan Syawal ini dengan adanya majlis rumah terbuka kita dapat saling ziarah menziarahi antara satu sama lain dan bermaafan.
Kepada yang dapat bersalaman dan berjabat tangan, maka bersalamanlah kerana di sana ada anjuran “sesiapa yang bertemu dan kemudiannya berpisah, maka diampunkan dosa kedua-dua mereka sebelum mereka bersurai”. Jika pun kita tidak menerima riwayat ini, tetapi paling kurang ianya mengeratkan silaturrahim dan melalui bersalaman dapat kita mengeratkan kasih sayang satu sama lain.
Sebagai tuan rumah pula, kita hendaklah memuliakan tetamu kita, meraikan mereka, dan memberikan layanan yang sebaik-baiknya walaupun kita mungkin merasa kepenatan tetapi ganjarannnya ialah besar di sisi Allah SWT. Terlalu banyak sunnah Baginda SAW yang boleh kita laksanakan sepanjang majlis rumah terbuka ini seperti memberi salam, bersalaman, bermaafan, mengerat silaturrahim, memberi makan, memuliakan tetamu dan bermacam-macam lagi peluang untuk kita meraih pahala di sisi Allah SWT.
Oleh itu, sepanjang Syawal ini marilah kita sama-sama raikan satu sama lain dan kegembiraan ini bagi menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT, dan hendaklah kita ingat untuk tidak melakukan sesuatu yang melanggar Syariat selama kita bergembira.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 Julai 2017