Nikmatnya di Syurga

MENYAMBUT Aidilfitri di dalam suasana yang indah dan meriah merupakan impian setiap insan setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan pada Ramadan yang lalu. Walau bagaimanapun adalah menjadi satu kenikmatan kepada insan apabila dapat merasai keindahan berhari raya yang tiada tandingnya apabila berada di dalam syurga kelak kerana Allah mengurniakan kenikmatan yang sangat luar biasa  yang tidak diberikan kepada manusia ketika menjalani kehidupan di dunia. Allah akan menjadikan setiap penghuni syurga sentiasa hidup pada usia 33 tahun buat selama-lamanya, kelihatan tampan, gagah dan bercelak. Malah turut dikurniakan kekuatan kepada akal dan fikiran  mereka.

Muaz bin Jabal meriwayatkan  Rasullah SAW pernah menyebut, “Penghuni-penghuni syurga nanti tidak mempunyai rambut (bulu) pada tubuh badannya dan tidak pula berjanggut, kecuali alis dan bulu mata pada bahagian muka. Usia mereka di dalam lingkungan 33 tahun, mereka juga seakan-akan dioleskan pada wajahnya dengan celak-celak yang indah sebagai menambahkan ketampanan wajah, kelihatan cerah dan penuh dengan kesucian pada wajahnya,. Ahli syurga tidak berasa sakit perut untuk membuang air besar dan air kecil, tidak meludah dan tidak berhingus.” Kesemua ini adalah kenikmatan sebagai penghargaan daripada Allah kepada ahli syurga.

Berbeza dengan kehidupan di dunia apabila manusia sering bergelumang dengan najis sejak dilahirkan, sehinggalah ketika tiba waktu menemui ajal untuk kembali menghadap Allah. Malah manusia juga berjalan dengan memikul dan menanggung najis yang berada di dalam tubuh badan mereka, sebagai iktibar kepada diri mereka agar tidak berlaku sombong ketika hidup sebagai hamba Allah. Oleh itu manusia diberi kenikmatan untuk bebas daripada sebarang najis dan tiada lagi kelemahan serta kekurangan apabila menjadi penghuni syurga kelak dan ini membuktikan bahawa Allah SWT itu mampu menjadi segala sesuatu di atas kehendak-Nya. Sesungguhnya kesombongan manusia ketika hidup di dunia akan menjerumuskan mereka ke dalam neraka kerana hanya Allah yang selayaknya memuliakan dirinya mampu meninggikan darjat mereka.  

Perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm, menceritakan Abu Hurairah pernah menyebut Rasulullah bersabda, “Kelompok pertama umatku yang akan masuk ke dalam syurga nanti, wajah mereka bagaikan bulan purnama. Kelompok umatku selepas itu bagaikan bintang yang paling terang sinarnya di langit. Setelah itu umat manusia mempunyai tingkatan yang berbeza keadaannya. Mereka tidak kencing, tidak membuang air besar, tidak meludah mahupun mengeluarkan hingus. Sisir mereka diperbuat daripada emas dan perak. Peluh mereka berbau kasturi, semerbak bauan daripada kayu gaharu dan isteri-isteri mereka di kalangan bidadari syurga.”

Golongan wanita yang menyedari akan cantiknya bidadari-bidadari syurga yang akan menemani suami mereka nanti, secara tidak langsung mewujudkan sifat cemburu dan mengetahui betapa bernilainya amalan-amalan yang dilakukan di dunia untuk beroleh ganjaran syurga Allah pada Hari Akhirat nanti. Namun walaupun mereka tidak dapat memasuki syurga bersama suami mereka, wanita juga akan ditemani lelaki tampan yang dikurniakan Allah di syurga kelak. Di dalam riwayat yang lain, digambarkan setiap ahli syurga akan ditemani dua orang isteri yang sangat cantik, jernihnya segala tubuh badan mereka malah dapat dilihat betisnya disebalik daging mereka. Tiada pertengkaran dan permusuhan di kalangan bidadari kerana kegembiraan berada di dalam syurga dan mereka sentiasa bertasbih kepada Allah.

Di dalam syurga nanti penghuninya tidak akan tidur sebagaimana gambaran yang dinyatakan oleh Jabir bin Abdullah bin Abdullahn bin Abi Aufa, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidur-tidur itu saudara kepada kematian dan mati itu tidak akan berlaku di dalam syurga.” Penghuni syurga pada sepanjang masa akan merasai nikmat yang ada di dalamnya. Para ulama apabila ditanya bilakah waktunya untuk mereka tidur, mereka akan berkata orang mukmin hanya akan tidur apabila kembali menghadap Allah ketika berada di dalam barzakh kelak. Ketika itu akan dipertontonkan  keadaan pada hari pertama berada di alam barzakh, dengan melihat waktu tenggelamnya mentari. Pada waktu itu manusia berada di dalam kejutan dan menyedari mereka belum lagi mendirikan solat atau membaca al-Quran. Kemudian malaikat memberitahu bahawa tidak lagi perlu bersolat, berzakat, haji dan segala amalan yang dituntut daripada mereka, maka tidurlah mereka bagaikan berada di malam pengantin baru.

Nikmatnya hidup di dalam syurga, penghuninya menjadi sibuk untuk menikmati keseronokan dan kelebihan yang menjadi ganjaran kepada mereka.  Sebagaimana firman Allah di dalam surah Yasin, ayat 55-58: “Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan; Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin; Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki; (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.”

Selain itu makanan yang ada di dalam syurga merupakan nikmat kepada penghuninya. Ahli syurga akan dihidangkan hati ikan paus. Abu Said al-Qudri menyebut Rasulullah bersabda, “Bumi akan menjadi satu roti pada hari kiamat yang dibolak-balikkan oleh Yang Maha Perkasa di tangan-Nya. Seperti salah satu daripada kalian membolak-balikkan roti dalam perjalanan. Sebagai hidangan kepada penghuni syurga.” Kemudian seorang lelaki Yahudi iaitu Abdullah bin Salam bertanya, “Ya Muhammad, adakah benar kamu ini Rasulullah? Jika benar kamu boleh menjawab pertanyaanku.” Rasulullah bertanya kepadanya soalan apakah yang ingin diajukan kepada Baginda. Lalu lelaki itu berkata, “Di dalam agama mu mengajar kepada kamu, makanan apakah yang mula-mula sekali akan dimakan oleh penghuni syurga?”. Rasulullah bertanya semula kepada lelaki itu, “Abdullah, sekiranya aku boleh menjawab pertanyaan itu, apakah kamu akan beriman kepada Allah?”. Kemudian setelah diakui oleh lelaki itu, Baginda menjawab bahawa ahli syurga akan dihidangkan hati ikan paus sebagai hidangan pertama, kemudian disembelih untuk mereka lembu untuk dimakan dan diberi minum sejenis air yang dinamakan salsabila. Abdullah bin Salam membenarkan kata-kata Rasulullah itu dan akhirnya memeluk Islam.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Julai 2017
\"\"
Scroll to Top