TARBIAH Ramadan adalah bertujuan untuk melahirkan manusia yang bertaqwa di sisi Allah SWT. Sungguhpun telah selesai sebulan berpuasa di bulan Ramadan, semangat dan roh amalan ibadah di bulan Ramadan tetap teguh dilaksanakan. Begitu juga Aidilfitri yang diraikan adalah simbol kepada suatu kemenangan yang telah dilalui sepanjang berada di bulan Ramadan.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata sesungguhnya setiap hari adalah hari raya apabila kita dapat mengelak dari dosa, justeru pelihara kemuliaan dan kemurniaan hari raya dengan mengamalkan amalan-amalan yang dianjurkan oleh agama Islam.
Apabila berbicara tentang nilai ketaqwaan, ia amat rapat dengan akhlak seseorang manusia. Seseorang yang berakhlak mulia dengan Allah nescaya tingkah dan perbuatannya juga akan baik sesama manusia. Seseorang yang berakhlak mulia akan leboih akrab dengan nilai ketaqwaan di sisi Allah SWT.
Bahkan akhlak yang mulia inilah yang akan membina keperibadian seseorang manusia sehingga menjadi insan yang tinggi darjatnya di sisi Maha Pencipta dan sesama manusia. Seseorang yang tinggi akhlaknya terserlah dengan nilai kemaafan yang tinggi di dalam dirinya.
Ini kerana sungguhpun ramai manusia yang bersifat baik tetapi dalam masa yang sama agak liat untuk memaafkan, masih tidak dapat melupakan kesilapan orang lain kepada dirinya atau belum dapat melupakan sesuatu peristiwa hitam yang pernah berlaku dalam hidupnya, bererti masih belum terserlah akhlak mulia yang sebenar dalam diri.
Seseorang yang benar-benar berakhlak (mulia) terserlah dalam dirinya kesucian hati yang murni sehingga terbit melalui perbuatannya nilai kemaafan, tidak berdendam, sentiasa bersangka baik dan selalui memandang hidup ini dengan pandangan kebaikan yang amat tinggi.
Dalam sebuah riwayat tentang dua orang sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Dzar al Ghifari dan Billah bin Rabah yang dinukilkan berlaku satu pertelingkahan di antara mereka berdua. Dalam pertelingkahan itu Saidina Abu Dzar telah memanggil sahabatnya dengan panggilan “Wahai kamu anak Si Hitam”. Mendengar itu Billah bin Rabah merasa sedih dan mengadukan perkara itu kepada baginda Rasulullah SAW. Perbuatan Abu Dzar tidak disukai oleh baginda Rasulullah lalu sebagai jalan tarbiah kepada Abu Dzar, baginda menasihatkan bahawa perbuatan Abu Dzar itu seolah-olah mewarisi perbuatan sifat-sifat jahiliah. Mendengar itu lalu Abu Dzar terus mendapatkan Billah bin Rabah dan memohon kemaafan yang sesungguh-sungguhnya sehingga perbuatan itu menarik mata yang memandangnya.
Begitulah nilai akhlak seorang insan yang tinggi nilai mauizah dalam dirinya. Apabila tersedar kekhilafan yang dilakukan, tanpa ada rasa segan silu memohon agar diri di maafkan oleh orang yang disakitinya. Bahkan kemaafan itu dipinta dengan perasaan penuh penyelasan di dalam diri.
Begitulah tingginya nilai akhlak seseorang yang tinggi ketaqwaannya, hidupnya sentiasa memeriksa kekurangan diri dan sentiasa menambah amalan untuk terus mendekatkan diri dengan Allah taala. Orang yang berakhlak mulia sentiasa mengawal diri dari sifat-sifat tercela seperti marah, berdendam, tidak mahu berbuat baik dan sebagainya. Dalam diri orang yang berakhlak tinggi meletakkan Allah di hadapannya sehingga perbuatan buruk dapat dikawal kerana perkara yang diharapkan adalah keampunan Allah SWT. Sebagaimana Allah SWT berfirman di dalam surah Ali Imran ayat 130 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya”.
Sesungguhnya orang-orang yang meninggalkan larangan Allah, lalu menjadi manusia yang tinggi taqwanya di sisi Allah akan menjadi orang yang berjaya di dunia dan akhirat. Keikhlasan beribadat hanya untuk Allah menjadi Key Performance Indicator (KPI) dalam mencapai ketaqwaan yang tinggi di sisiNya.
Begitu juga nilai kasih sayang yang tinggi dalam diri akan mengikat perhubungan sesama manusia. Orang yang dalam hatinya penuh dengan kasih sayang tidak aka nada dalam hatinya perasaan benci dan dendam. Kasih sayang akan menghubungkan hati-hati manusia untuk saling mengasihi sesama insan. Sebagaimana yang disebut dalam sepotong hadis yang bermaksud “sesiapa yang mengasihi sesama manusia, Allah akan mengasihi dirinya”. Justeru kasih dan sayang itu umpama jambatan yang membina kerukunan sesama manusia.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Julai 2017