SYAWAL sememangnya dinanti-nantikan dan disambut dengan penuh pengertian sebagai hari kemenangan selepas sebulan berjihad melawan nafsu dan pelbagai kehendak kehidupan. Namun yang pasti, adakah bulan yang penuh dengan kegembiraan ini kita hayati erti sebenar di sebalik Aidilfitri. Allah SWT berfirman menerusi ayat 185 surah Al-Baqarah yang bermaksud : “…Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur”. Menerusi ayat ini, jelas dapat kita lihat betapa pentingnya Aidilfitri diraikan penuh kesyukuran. Kesyukuran itu disebabkan kejayaan melaksanakan ibadah dan merebut ganjaran yang besar sepanjang sebulan Ramadan. Sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Kathir, sebahagian ulama menjadikan ayat ini sebagai dalil tentang pensyariatan takbir ketika solat Aidilfitri. Ibn Kathir juga menjelaskan selanjutnya bahawa jika insan beriman telah melaksanakan perintah Allah dengan menunaikan ketaatan dan meninggalkan larangan, maka mereka termasuk dalam golongan yang bersyukur.
Ramadan telah pun melabuhkan tirainya. Syawal kini tiba dengan membawa limpahan kegembiraan. Perpisahan dengan Ramadan tidak sewajarnya membuat kita meninggalkan setiap amalan kita yang telah kita laksanakan dalam tarbiyah Ramadan. Mengapa tarbiyah? Kerana jika dapat kita hayati setiap disiplin dan tindakan kita sepanjang Ramadan, pasti kita benar-benar dapat merasa akan didikan Ramadan jauh ke dalam sanubari kita.
Ramadan, bulan istimewa bagi seluruh umat Islam telah berakhir dengan seribu satu kesan dalam setiap jiwa yang melaluinya. Jika dibuka ruang untuk menceritakan pengalaman Ramadan, pasti banyak yang mampu diceritakan, baik yang indah mahupun yang gundah. Menterjemahkan Ramadan, bukan hanya pada setiap amalan yang dilaksanakan akan diberi ganjaran pahala berganda, malah lebih daripada itu. Ramadan dihayati dalam pelbagai erti demi menjadikan kita tidak lain hanya sebagai hamba yang benar-benar bertakwa kepada-Nya.
Dalam meraih sesuatu yang besar ertinya, pastinya terdapat pelbagai ujian yang harus kita lalui. Namun, sebagai individu beriman yang benar-benar mengharapkan redha Allah SWT dan menjadi hamba yang bertakwa kepada-Nya, madrasah Ramadan seharusnya dimanfaatkan untuk mendidik nafsu dan diri kita. Singkapkan kembali kisah perjuangan sabar kita dalam menempuhi hari-hari pada bulan Ramadan. Adakah berbaloi sebulan perjuangan untuk bersabar yang telah kita lalui sepanjang Ramadan untuk kita tinggalkan begitu sahaja setelah munculnya sinar Syawal? Justeru, jadikanlah Syawal ini juga penyambung kepada erti sabar yang telah kita peroleh ketika Ramadan. Mohon dan mintalah kepada-Nya agar hati yang sabar ketika Ramadan dapat kekal berada sepanjang sebelas bulan yang berbaki.
Beruntungnya kita saat melafazkan takbir bagi menzahirkan rasa syukur kerana kesan tarbiyah yang kita peroleh ketika Ramadan. Namun, sebaliknya pasti kita rasai sekiranya Ramadan yang telah kita tinggalkan tidak menjadikan kita hamba yang benar-benar dekat kepada-Nya dan benar-benar mengharapkan keampunan-Nya. Melangkah masuk ke bulan Syawal harus diiringi dengan kesyukuran, iaitu dengan sentiasa bersederhana. Jangan jadikan Syawal medan untuk kita menambah dosa dengan sikap membazir yang telah mungkin dapat kita bendung sepanjang sebulan Ramadan.
Pembaziran merupakan isu atau permasalahan yang sering kali dibangkitkan bukan sahaja ketika Syawal menjelang tetapi juga sepanjang Ramadan. Seandainya kita berjaya membendung pembaziran pada bulan Ramadan tetapi gagal pula pada bulan Syawal, ini menimbulkan persoalan besar tentang bagaimana kita benar-benar menghayati erti sebenar membelenggu hawa nafsu pada bulan Ramadan.
Salah satu amalan mulia yang digalakkan untuk dilaksanakan pada bulan Ramadan ialah bersedekah. Ini bagi mencontohi amalan serta tindakan Nabi S.A.W. yang diriwayatkan sentiasa bersegera dan pantas untuk melakukan kebaikan, termasuk bersedekah pada bulan Ramadan. Amalan bersedekah ini juga amat digalakkan pada bulan Syawal. Antaranya termasuklah melalui pemberian duit raya. Namun, di sebalik pemberian kita, kecil atau besar, jauhkanlah segala bentuk sifat mazmumah. Elakkan sifat riak dan berbangga-bangga serta menunjuk-nunjuk atas pemberian kita. Biar sedikit nilainya namun besar ertinya buat penerima. Jangan besar nilainya, namun tidak berharga di sisi Yang Maha Esa.
Memetik kata-kata Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany, penyumbang segmen Hayatus Sahabah IKIMfm “Jangan ditangisi Ramadan yang telah berlalu kerana yang datang pasti akan pergi. Tangisilah kegagalanmu mengisi Ramadan itu’. Semoga amalan sepanjang Ramadan dapat kita teruskan pada bulan Syawal dan bulan-bulan yang mendatang.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 27 Jun 2017