DALAM rancangan Suluh Budi yang bersiaran setiap hari Rabu jam 5.15 petang, topik minggu lalu membicarakan berhubung “Mutiara Akhlak Islam daripada Suluhan Ilmuwan Silam”, Dr. Mohd. Farid bin Mohd. Shahran, Pengarah Pusat SYARAK IKIM menjelaskan betapa undang-undang dalam Islam bukan sifatnya untuk menghukum tetapi untuk mendidik bagi mereka yang gagal dididik melalui akhlak dan adab yang telah digariskan oleh ajaran Islam. Apabila seseorang itu masih tidak mahu tunduk kepada adab dan akhlak yang digariskan oleh agama Islam, maka pada ketika itulah undang-undang dan hukuman dalam Islam perlu dilaksanakan terhadap individu-individu yang dikira degil dan keras kepala ini.
Apabila kita berbicara tentang akhlak, kita perlu membawa masyarakat kita memahami psikologi insan atau hakikat jiwa manusia agar masing-masing boleh kenal diri mereka. Namun malangnya adakala pengajian psikologi di pusat pengajian tinggi tidak membawa kepada matlamat untuk mendidik jiwa dan melahirkan akhlak yang murni, sebaliknya sekadar mendedahkan manusia kepada pelbagai jenis ragam manusia secara umum atau disebut “behaviourial pattern” atau ragam perangai manusia, dan bukannya berbicara tentang bagaimana untuk mengawal diri daripada sifat-sifat keji dan buruk seperti marah dan seumpamanya dan menjadi akhlak yang mulia. Dalam Islam, ilmu psikologi atau ilmu jiwa diajar adalah untuk manusia kenal hakikat diri mereka dan sekaligus apabila mereka kenal diri mereka maka mereka sepatutnya juga lebih bijak dan pandai untuk mengawal diri agar menjadi manusia yang memiliki akhlak yang tinggi dan agung, mencontohi akhlak Baginda SAW sepertimana pengiktirafan yang telah diberikan oleh Allah SWT apabila Allah SWT menyebut “sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) memiliki akhlak yang agung” (Surah al-Qalam, ayat 4).
Dalam melahirkan insan yang berakhlak, para ulama Islam silam telah melihat bahawa ada tiga komponen penting yang sebenarnya yang kita jaga dan pelihara dalam diri kita sehingga menjadi penentu kepada akhlak kita itu iaitu pertama ialah akal, kedua kemarahan (al-ghadabiyyah), dan ketiga nafsu syahwat kita. Hakikatnya, apa yang terzahir pada perilaku seorang insan itu secara luarannya sebenarnya adalah manifestasi daripada 3 komponen dalaman ini dan bagaimanakah unsur-unsur ini dikawal dalam dirinya. Bagi individu yang berjaya mengawal ketiga-tiga unsur ini sudah pasti akan melahirkan seorang yang indah akhlak dan peribadinya.
Bagi orang yang mampu mengawal akalnya, maka akan lahirlah orang yang memiliki hikmah atau bijaksana, yang merupakan tahap pengawalan akal yang paling tinggi dan utama sekali. Ahli hikmah atau orang bijaksana memandang dengan pandangan yang luas dan merangkumi pelbagai aspek dan mampu melihat sesuatu yang kena pada tempatnya. Mengikut Ibn Miskawayh (w.1030) dalam kitabnya Tahdhibul Akhlak (Penghalusan Akhlak), orang bijaksana ini mempunyai beberapa sifat-sifat baik yang akan terbit daripadanya antaranya ialah cerdik (al-zaka). Yang dimaksudkan cerdik di sini ialah dia mempunyai kemampuan dan pantas dalam menilai dan membuat kesimpulan apabila berhadapan dengan sesuatu situasi. Sifat seterusnya ialah kemampuan untuk mengingat (al-dhikr) dengan maksud cepat untuk mengingat.
Sifat seterusnya ialah ta’aqqul iaitu keupayaan untuk berfikir dan mengaitkan sesuatu sehingga terhasilnya satu keputusan yang tepat dan bijak. Keduanya, orang yang mampu mengawal nafsu syahwat akan terlahirlah sifat yang disebut sebagai “iffah” atau sering diterjemahkan sebagai sederhana. Bersederhana dalam serba serbi, dalam makan minum, dalam membeli belah dan dalam apa sahaja yang dikehendaki oleh nafsu. Termasuk dalam orang yang memiliki kesederhanaan juga ialah orang yang bersifat malu (haya’). Malu dalam ertikata kemampuan menahan diri daripada melakukan maksiat dan berdosa. Orang yang memiliki iffah atau sederhana juga orang yang tenang atau kemampuan mengawal diri ketika ditimpa musibah atau ujian, tidak mudah melenting. Hasil iffah ini juga akan terzahir sifat qana’ah atau perasaan mencukupi dan tidak tamak dan banyak lagi sifat-sifat lain.
Dimensi akhir sekali sifat marah (ghadab) pula sekiranya berjaya dikawal dengan baik maka akan lahirlah sifat yang dipanggil “keberaniaan” (shaja’ah). Orang yang berani ini berbeza daripada orang yang ganas. Orang yang berani ini orang yang menzahirkan keberaniaannya kena pada tempat yang sepatutnya manakala orang yang ganas ialah orang yang menzahirkan kemarahannya mengikut hawa nafsunya yang tidak terkawal. Orang yang sabar termasuk daripada sifat orang yang memiliki keberaniaan kerana untuk menjadi berani seseorang itu perlu memiliki kesabaran yang tinggi sepertimana mafhum hadith Baginda SAW: “Bukanlah orang yang kuat itu orang yang boleh mengalahkan lawannya dalam pergelutan tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang mampu mengawal dirinya (sabar) ketika marah” (HR Bukhari). Untuk memiliki sifat-sifat mulia ini bukan melalui pembacaan tetapi melalui pengamalan dan mujahadah melawan nafsu agar mampu membersihkan batin kita. Setelah “dalaman” kita bersihlah maka akan terzahir akhlak yang agung secara luarannya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 April 2017