Melayani Isteri dengan Baik

DALAM kehidupan rumah tangga,  ujian sentiasa hadir  seperti air yang mengalir. Dugaan rumahtangga yang paling hebat ialah pergaduhan sehingga berlaku perceraian.

Dalam institusi rumahtangga Haram hukumnya suami mendatangkan mudarat kepada isteri tanpa ada sebab-sebab yang hak, kerana mendatangkan mudarat kepada orang lain adalah suatu kezaliman. Manakala melakukan kezaliman adalah haram, kerana Allah Subhanahu wa Ta‘ala tidak menyukai orang-orang yang berlaku zalim.

Allah SWT   telah berfirman  bahawa “Apabila kamu mentalak isteri-isterimu, lalu mereka mendekati akhir idahnya, maka rujukilah mereka dengan cara yang ma’ruf, atau ceraikanlah mereka dengan cara yang ma’ruf (pula). Janganlah kamu rujuki mereka untuk memberi kemudharatan, karena dengan demikian kamu menganiaya mereka. Barangsiapa berbuat demikian, maka sungguh ia telah berbuat zalim terhadap dirinya sendiri. Janganlah kamu jadikan hukum-hukum Allah permainan, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu yaitu Al-Kitab dan Al-Hikmah. Allah memberi pengajaran kepadamu dengan apa yang diturunkan-Nya itu. Dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah bahwasannya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah Al-Baqarah, ayat 231).

Dalam ayat tersebut ia melarang suami yang berniat untuk memberi mudarat kepada isteri. Suami yang mentalak  isteri diperintahkan sama ada kembali (ruju‘) kepada isteri tanpa ada tujuan untuk memudaratkan atau melepaskan isteri sehingga selesai ‘iddahnya.

Perceraian adalah diharuskan namun ia adalah perkara yang paling dibenci Allah SWT. Jika seorang suami melafaz talak kepada isterinya, perbuatan itu tidak berdosa namun ia dibenci Allah. Ketika menyambung kembali perbincangan mengenai “40 Ayat Al-Quraan  Bekenaan Keluarga” dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang  bersiaran di IKIMfm setiap Isnin,   Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin berkata terdapat  tiga situasi yang bakal berlaku apabila pasangan memasuki fasa percerian. Perceraian  boleh membawa kepada kemudaratan. Ini kerana perceraian memberi impak terhadap kehidupan semua pihak dalam institusi rumahtangga.

Sama ada di pihak pasangan suami isteri, anak mahupun keluarga di kedua-dua belah pihak. Namun begitu, apa yang terkesan sekali ialah anak yang sedang membesar. Bagaimana anak yang masih mentah hendak menghadapi situasi keluarga yang pincang pada  usianya masih belum mengenal erti kehidupan. Bukannya mudah menyesuaikan diri selepas perceraian. Kesukaran menyesuaikan diri menyebabkan ramai pasangan bercerai mengalami kemurungan, rasa rendah diri dan sebagainya kerana kegagalan perkahwinannya. Seterusnya , percerian yang berlaku   juga boleh mengundang kepada fitnah Umumnya, fitnah bukanlah satu fenomena yang baru wujud dalam masyarakat kita, malah fitnah telah menjadi permainan dan satu perkara yang seolah-olah wajib dilakukan oleh setiap orang.

Penyebaran fitnah dapat dilakukan dengan mudah dalam era komunikasi moden sekarang. Perkara ketiga adalah  percerian timbul untuk tidak menunaikan hak-hak yang sepatutnya. Dalam situasi  ini, akan timbul  beberapa isu yang akan dibangkitkan  iaitu mendapatkan kembali mahar yang tertangguh, iaitu mahar yang masih belum dijelaskan oleh pihak suami semasa perkahwinan, nafkah ciddah, mut’ah, tunggakan nafkah dan apa-apa hutang yang dibuat oleh suami semasa di dalam perkahwinan. Di samping itu, kedua-dua pihak sama ada suami ataupun isteri boleh untuk menuntut harta sepencarian yang diperolehi selepas perkahwinan begitu juga dengan penjagaan anak (hadhanah)  selepas berlakunya perceraian.

Ada ikatan perkahwinan yang terlerai kerana tiada lagi persefahaman antara kedua-dua suami isteri. Ekoran tiada lagi persefahaman, maka perpisahan menjadi jalan penyelesaian yang terbaik. Oleh itu, dalam soal percerian kaum lelaki diingatkan agar  melihat  secara lebih mendalam beberapa aspek. Pertama, dia harus sedar  bahawa  percerian itu  bukan satu-satunya jalan penyelesaian. Selain dibenci oleh Allah SWT, ia disifatkan sebagai  jalan terakhir yang boleh diambil apabila segala usaha untuk memperbaiki keadaan rumah tangga itu menemui jalan buntu. Perkara seterusnya yang perlu diambil perhatian sewajarnya oleh para suami adalah perlu berusaha sedaya upaya mempertahankan rumahtangga walaupun isteri memohon cerai atau dipaksa oleh pihak tertentu tanpa sebab yang munasabah.

Terdapat sabda Nabi SAW yang bermaksud \”Mana-mana wanita (isteri) meminta cerai dari suaminya tanpa ada suatu desakan, haram ke atasnya mencium bau Syurga (yakni akan ditegah dari mencium bau Syurga)\” (HR Abu Dawud).  

Langit  tidak selalunya cerah. Ada kalanya panas dan hujan. Tidak kurang juga mendung dan ribut. Demikianlah juga keadaannya dengan alam perkahwinan dan rumah tangga. Bahagia atau derita, lumrah kehidupan suami dan isteri. Kita sering mendengar seorang isteri mengadu dia digantung tidak bertali. Ia adalah satu perbuatan yang dilakukan oleh suami dengan meninggalkan isteri dan anak-anaknya tanpa memberi sebab dan tanpa memberitahu di mana dia berada. Justeru, dalam isu sebegini para   suami disaran untuk   memiliki sifat tanggungjawab yang tinggi. Elakkanlah menzalimi isteri sehingga  mengabaikan hak-hak isteri dari segi nafkah atau keperluan  .

Allah SWT  sama sekali tidak suka sesuatu perkara yang tidak baik berlaku dalam rumah tangga yang dibina. Oleh kerana itu, salah satu suruhan-NYa  ke atas suami ialah perintah untuk bergaul dengan isteri  dengan cara yang baik.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 April 2017
Scroll to Top