SALAH satu cara Allah SWT menunjukkan rasa kasih kepada hambanya ialah dengan mengurniakan bulan Ramadan. Dan kini kita berada dalam bulan Rejab dan dua bulan lagi kita akan masuk bulan Ramadan. Di antara doa yang sering dibaca oleh Rasullallah SAW sejak daripada permulaan bulan Rejab, “Ya Allah, berkatilah aku dengan bulan Rejab, berkatilah aku dengan bulan Syaaban, ya Allah panjangkanlah usiaku agar aku sempat memasuki bulan Ramadan”. Bulan Ramadan memberi ruang dan kesempatan kepada manusia untuk menjadi penghuni syurga dan mesti direbut dengan melakukan persediaan awal untuk menghadapinya.
Para ulama menyebut di antara sifat penghuni syurga ialah ketika hidupnya di dunia dahulu sering memuji dan memuja Allah. Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm pada setiap hari Khamis jam 5.15 petang juga mengingatkan agar mengelakkan diri daripada memuji makhluk kerana ia tidak wajar dilakukan manusia. Perkara pertama yang dilakukan oleh manusia ketika melangkah masuk ke pintu syurga ialah dengan menyebut, “Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan jalan hidup pada diri kita.” Namun mengucapkan kalimah syukur amat sukar dan terlalu sedikit di kalangan manusia yang memuji Allah. Ini adalah di antara punca manusia diazab dengan himpitan kubur di saat mulanya jenazah diturunkan ke liang lahad. Tidak terbilang nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia, oleh itu sentiasalah memanjatkan rasa syukur. Rasulullah SAW juga berpesan, menjadi takjub bagi orang mukmin semua urusan di dalam hidupnya berjalan dengan baik. Sekiranya dilanda musibah, dia bersabar dan itu merupakan ciri-ciri orang mukmin yang sentiasa bersyukur di atas setiap pemberian yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Selain itu manusia yang hidup di dalam keadaan bersabar melayakkan diri mereka untuk masuk ke dalam syurga. Sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang bersabar. Memupuk sifat sabar di dalam diri bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ia dilakukan dengan mengambil masa yang panjang. Walaupun ketika itu dirinya diejek, dihadapinya dengan senyuman sebagaimana keadaannya ketika menerima pujian manusia. Firman Allah di dalam surah al-Zumar, ayat 10: “Sesungguhnya ganjaran yang Allah sediakan bagi orang yang sabar itu, ganjaran yang tidak terhitung banyaknya.” Tetapi tidak ramai yang mampu bersabar menghadapi ujian Allah, sedangkan ujian tidak dikurniakan Allah kecuali mengikut kemampuan manusia yang melaluinya. Allah tidak akan masukkan seseorang itu ke dalam syurga sehingga mengetahui siapakah di kalangan manusia yang benar-benar berjuang di jalan Allah dan mengetahui siapakah yang benar-benar bersabar di dalam ujian yang dihadapi di dunia ini. Perbanyakkan ilmu dan tabahlah ketika berhadapan dengan setiap perkara yang mendatangi kehidupan kita.
Golongan ketiga yang layak menghuni syurga ialah di kalangan mereka yang berjihad di jalan Allah. Kemuncak jihad bagi seseorang hamba ialah mengorbankan nyawa di dalam mentaati perintah Allah. Cabaran luaran dan dalaman perlu di hadapi dengan kekuatan diri walaupun dilanda pelbagai ujian. Manusia yang memiliki sifat jihad mampu mengatasi kesukaran ketika bangun bertahajud di tengah malam, kekuatan jihad juga mampu mendorong dirinya mendengar siding ilmu yang mengajak seseorang kepada kebaikan. Selemah-lemah jihad bagi setiap individu ialah dengan menanam niat agar hidup di dalam keadaan membawa agama Allah sehingga menemui syahid di jalan Allah SWT. Malah jihad yang paling utama ialah jihad untuk dirinya sendiri dengan kekuatan melakukan sesuatu yang diperintahkan oleh Allah.
Orang-orang yang berinfaq ke jalan Allah melayak dirinya menjadi penghuni syurga. Setiap harta yang dikurniakan Allah kepada seseorang adalah untuk digunakan di jalan Allah, bukan hanya untuk kegunaan diri dan keluarganya sahaja. Saidina Abu Bakar as-Siddiq adalah contoh terbaik kerana menginfaqkan keseluruhan hartanya untuk agama, begitu juga Saidatina Khadijah binti Khuwailid yang amat disayangi Rasulullah SAW. Jangan sesekali menggunakan harta untuk dunia yang akan ditinggalkan tanpa menyediakan bekalan untuk menuju Akhirat kelak kerana sesungguhnya ia amat merugikan manusia. Urusniaga yang mampu menyelamatkan manusia daripada neraka ialah beriman kepada Allah dan Rasul, berjuang ke jalan Allah dengan harta benda yang dimiliki dan seterusnya mampu mengorbankan jiwa dan raga hanya kerana Allah.
Selain itu manusia yang layak memasuki syurga ialah di kalangan manusia yang mampu mengawal kemarahannya dan suka memaafkan orang lain. Malah Rasulullah sentiasa berpesan agar tidak cepat marah kerana ia mampu menjunamkan manusia ke neraka. Elakkan berdendam kerana ia merupakan penyakit di dalam diri manusia, oleh itu maafkanlah kerana Allah mencipta perjalanan hidup manusia untuk terus mara ke hadapan dan sewajarnya melupakan perkara yang telah berlalu tanpa dipengaruhi sifat dendam. Tidak akan masuk syurga bagi mereka yang tidak memaafkan orang lain kerana ia akan memutuskan silaturrahim.
Orang yang selalu berbuat ehsan iaitu orang yang suka melakukan kebaikan adalah di antara ciri penghuni syurga. Golongan ini tidak melepaskan peluang untuk berbuat baik walaupun hanya diminta memberi pandangan terhadap sesuatu perkara, khidmat nasihat atau menerima kehadiran tetamu. Ciri lain bagi mereka yang layak menghuni syurga ialah ulama yang mengamalkan segala ilmu yang diperolehinya. Mereka adalah tempat bergantung bagi umat manusia setelah ketiadaan para nabi dan Rasul. Ulama bertanggungjawab memperbetulkan jalan kehidupan manusia agar sentiasa taat di jalan Allah dan tidak memperkecilkan manusia lain. Malah syarat melayakkan diri untuk masuk di dalam syurga Allah ialah menjadi pemimpin yang adil mengikut al-Quran dan hadis Rasulullah. Pemimpin yang baik tidak pernah takut dengan celaan manusia tetapi hanya takut kepada Allah kerana hanya Allah yang mampu memberi kekuatan kepada manusia.
Golongan manusia yang sering mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah orang lain daripada melakukan kemungkaran adalah layak menghuni syurga. Mencegah kemungkaran perlu dilaksanakan sekalipun hanya mampu sekadar melakukannya di dalam hatinya sendiri setelah tidak mampu mencegah perbuatan cela itu melalui perbuatan mahupun lisan. Tidak ketinggalan bagi manusia yang zuhud dan warak akan turut terpilih menjadi ahli syurga. Mereka bersyukur dengan kurniaan Allah ke atas diri mereka dan menggunakan seluruh pemberian itu untuk mentaati perintah-Nya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 April 2017