KERJA, profesion dan kerjaya perlu di rancang dengan teliti. Kegagalan merancang kerjaya akan memberi impak yang buruk terhadap kehidupan. Justeru, kajian menunjukkan bahawa mereka yang tidak bahagia di tempat kerja merupakan individu yang tidak bahagia dalam hidup. Ia lantaran kebanyakkan masa dan tenaga dihambur dan digunakan di tempat kerja.
Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah di IKIMfm minggu lalu menyambung elemen ke enam dalam membentuk kehidupan yang stabil iaitu berkenaan kerjaya dan kewangan. Menjadikan kerjaya bukan sahaja membawa pulangan kewangan pada diri malah menjadi lubuk rezeki yang diredhai serta pulangan ketenangan dalam hidup. Sewajarnya, sesuatu organisasi dan tempat kerja adalah ladang pahala. Kerja umpama sejadah ibadah tetapi sering sebaliknya berlaku dalam masyarakat dengan menjadi kerja hamparan dosa dan ladang kemurkaan Allah SWT.
Kerja itu penting untuk dilihat dan dirancang memandangkan ia syarat untuk peroleh kebahagiaan dalam kehidupan. Kebanyakkan masa diluangkan bersama rakan sekerja dan majikan berbanding pergaulan bersama ahli keluarga sendiri. Masa yang begitu segar dan utama diperuntukkan di tempat kerja sedang penghujung hari, saat keletihan melanda baru keluarga di jengah dan cuba di isi bersama mereka.
Kajian juga menunjukkan bahawa, terdapat empat hambatan yang menghalang suasana kerja yang bahagia serta harmoni. Pertama, ketiadaan motivasi dan semanagat untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan. Rasa bosan dan lesu yang menguasai diri akan mengurangkan rangsangan melaksana tugasan.
Cabaran ke dua adalah jurang komunikasi antara pihak atasan dengan pekerja bawahan. Begitu juga ketiadaan hubungan yang harmoni sesama pekerja menjadi faktor ketiga kehilangan nikmat bahagia di tempat kerja. Bayangkan, bagaimana kepuasan pelanggan luaran dapat di lunaskan andai proses dengan pelanggan dalaman masih bertempiaran?
Integriti juga memainkan peranan penting untuk merialisasikan ketenangan dalam organisasi. Terdapat istilah, jika tidak jujur dan amanah orang lain yang susah. Istilah itu tidak tepat kerana jika tidak jujur dan amanah akan melahirkan khianat seterusnya dikhuatiri tergolong dalam kalangan munafik.
Munafik atau tidak amanah adalah satu dosa. Dengan dosa pasti akan menghilangkan ketenangan sebagaimana sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud: “Mintalah fatwa pada jiwamu. Mintalah fatwa pada hatimu (beliau mengatakannya sampai tiga kali). Kebaikan adalah sesuatu yang menenangkan jiwa dan menentramkan hati. Sedangkan kejelekan (dosa) selalu menggelisahkan jiwa dan menggoncangkan hati.” (Riwayat Ad Darimi dan Ahmad).
Faktor penghargaan juga tidak kurang penting dalam mencapai suasana kerja yang kondusif. Walau punya pangkat yang tinggi waimah gaji yang lumayan, tetapi jika kurang penghargaan tetap akan terasa kering dan kontang dari ketenangan.
Amati keperluan kualiti jiwa dan kuantiti harta. Usah jadikan tempat kerja sebagai lubuk menambah kuantiti harta semata kerana menerusi tempat kerja juga seseorang akan dapat meningkatkan kualiti jiwa. Hindarkan dari henya memburu kesenangan di tempat kerja, tetapi carilah ketenangan di tempat yang sama.
Oleh itu, untuk merancangan dengan baik perlu perbetulkan minda dan niat. Ubah cara pandang kerja mengikut perspektif Islam. Minda tauhid perlu di pupuk saat melaksanakan tugasan. Kerja adalah ibadah dan salah satu daripada pecahan amal soleh dalam kehidupan manusia.
Allah berfirman mafhumnya: “Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Adz-Dzariyaat, ayat 56). Allah menciptakan 24 jam sehari semalam kepada manusia untuk beribadah kepadaNya termasuklah urusan kerja hendaklah di niatkan ibadah agar menepati suruhan Allah SWT itu.
Islam memandang berat tentang kerja kerana kebanyakkan masa dan tenaga di peruntukan untuknya berbanding ibadah-ibadah asas. Ia adalah ibadah untuk mendekatkan hamba kepada Tuhannya. Jika dilaksanakan akan mendapat pahala dan jika ditinggalkan dosa akan menyapa.
Di samping itu, kerja juga adalah sebahagian tugas manusia sebagai khalifah yang akan memakmurkan muka bumi. Ia menjadi wadah memberi kebaikan kepada orang lain. Contohnya, doktor memberi kebaikan dengan rawatan yang ditawarkan, seorang nelayan memberi kebaikan dengan hasil tangkapan, seorang guru memberi kebaikan dengan ilmu yang di berikan dan banyak lagi.
Mengambil semangat kisah Abu Darda RA yang bekerja sebagai petani. Beliau menanam pokok sehingga ke hujung-hujung usianya. Sehingga menimbulkan kehairanan manusia sekeliling kerana yakin beliau tidak akan sempat menuai hasil pohon yang di tanamnya itu. Lantas Abu Darda menyatakan bahawa beliau menanam pohon itu untuk mengharapkan pahala ketika orang memakan buahnya. Semoga prinsip ini tertanam subur dalam jiwa kita, jiwa seorang pekerja.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 Februari 2017