Merancang Kehidupan

SEMAKIN bertambah tahun bermakna semakin berkurang umur dan semakin dekat dengan kematian. Semoga di pengakhiran usia, diri menjadi hamba yang redha Allah sebagai tuhannya dan Allah redha diri sebagai hambanya. Di harap setiap detik yang berlalu membantu dalam merialisasikan misi menjadi hamba Allah yang baik dan menjadi khalifah yang memberi kebaikan kepada orang lain.

Hidup adalah amanah dan bukan anugerah semata. Jika kehidupan itu anugerah, seseorang itu akan menjalaninya sesuka hati dan sewenagannya . Maka, memandangkan kehidupan adalah perkara yang sedang dilalui oleh semua, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi Islam Itu Indah minggu lalu menekankan peri penting kendalian dan percaturan terancang manusia dalam menjalani kehidupan.

Hidup adalah tanggungjawab seseorang individu sepenuhnya. Amanah di pundak ini adalah bagi nilaian Allah pada cara hambanya memanfaatkan setiap kurniaannya sesuai dengan tujuan yang ditentukannya. Allah memberi kuasa sepenuhnya untuk mengatur hidup. Di situ, manusia akan membuat pilihan. Daripada pilihan itu, perlu untuk menanggung risiko dan mengambi manfaat jika pilihan itu betul. Tetapi jika pilihan itu salah, kita perlu menanggung mudarat dan akibatnya.

Umpama sistem kawalan jauh, pasti tangan yang memegangnya serta hati dan akal yang akan membuat pilihan siaran mana yang ingin ditonton. Usah serahkan sistem kawalan jauh itu ke tangan orang lain. Penentuan antara ke syurga atau ke neraka adalah atas tanggungjawab diri sendiri. Harapan pasti kepada syurga, namun percaya atau tidak jika takdir dilempar ke neraka diri akan menyalahkan syaitan lantaran hasutan dan kesesatan. Ini diingatkan Allah SWT menerusi firmannya yang bermaksud “Sesungguhnya telah Kami utus engkau dengan kebenaran, pembawa berita gembira dan peringatan ancaman. Dan tidaklah engkau akan ditanya dari hal ahli-ahli neraka.” (Surah al-Baqarah, ayat 119).

Dunia, tempat manusia yang sedar. Jika tidur, hanya nikamat tidur dan mimpi sahaja yang di kecapi tetapi nikmat lain terbuang ke tepi. Salah satu elemant untuk mengawal kehidupan adalah perancangan.  Malu jika punya perancangan untuk kehidupan di dunia tetapi ditinggal perancangan untuk Allah dan akhirat yang kekal.

Merancang kehidupan adalah Sunnah Rasulullah SAW. Jika disorot satu persatu kehidupan dan perjuangan Baginda penuh dengan strategi pada setiap takah, tahap dan marhalahnya. Setiap satunya beserta langkah dan strategi yang teliti lagi teratur. Contoh paling mudah adalah perjalanan hijrah Rasulullah SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah yang sangat profesional, teratur dan terancang.

Bak kata orang tua-tua, gagal merancang adalah merancang untuk gagal. Justeru, umat Islam wajib berusaha seiring dengan tawakal kerana akhirnya segala takdir milik Tuhan. Acapkali berlaku, saat meletakkan usaha telahpun tertanam kejayaan. Maka dalam jalan merealisasikan kejayaan tersebut perlu kepada elemen perancangan serta persiapan yang teliti.  Sungguh, serah segala natijah atas usaha kepada Allah kerana hujung akal baru tawakal, tawakal yang berbekal (dengan perancangan) dan kepada Allah segalanya berbekas.

Menurut pakar, terdapat enam bidang dalam kehidupan yang perlu dijaga. Jika, enam sisi ini dapat dilaksana dengan efektif dan efisyen ia akan menatijahkan kehidupan yang seimbang. Ustaz Pahrol mengaturnya mengikut susunan pelaksanaan bukan turutan kepentingan.

Pertama, aspek kesihatan. Islam mengutamakan bukan sahaja sihat malah kesihatan yang terarah kepada ketaatan dan kebaikan (afiat). Urus sebaiknya pemakanan (halal, bersih dan bersederhana). Dapatkan kuantiti dan kualiti tidur secukupnya dengan tidur awal diikuti bangun awal. Budayakan beriadah dan bersenam dengan teratur. Berdisiplin dalam pengambilan ubat-ubatanan dan pemakanan tambahan. Akhir sekali kawal tekanan dengan bijaksana.

Setelah peroleh kesihatan yang memuaskan, lengkapkan dengan menggali ilmu bagi diri kerana ilmu adalah cahaya yang menjadi sumber tenaga. Ia penting untuk mendapatkan fikiran yang bersih serta hati yang jernih. Usah tunggu masa lapang, tetapi sebaliknya lapangkan masa untuk mencari dan memantapkan ilmu.  

Dengan ilmu akan meningkatkan iman seterusnya menjadi sumber ketenangan. Aspek keimanan ini penting dalam agenda penambahbaikan kualiti hidup seseorang. Mulakan dengan penambahbaikan mutu solat. Solat yang khusyuk bermula daripada wuduk yang miliki kehadiran hati dan penghayatan. Sesungguhnya kualiti solat adalah terjemahan kualiti solat yang didirikan. 

Selepas itu, perteguhkan element perhubungan sesame manusia diikuti aspek kerjaya dan akhir sekali mantapkan tahap kewangan untuk memperoleh kehidupan yang terancang dan lebih terarah.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 Januari 2017
\"2017-01-11\"
WhatsApp
Scroll to Top