Sayyidatina Nasibah Binti Ka’ab

SETIAP kisah kehidupan mempunyai pelbagai iktibar dan pengajaran. Begitu juga dengan kisah-kisah para Sahabat dan Sahabiah RA yang hidup di zaman Baginda SAW yang terlakar dalam lipatan sejarah. Mereka adalah sebaik-baik generasi umat dan mereka diredhai oleh Allah SWT. Mudah-mudahan dengan kita menghayati kisah-kisah kehidupan para sahabat ini, kita dapat meneruskan kehidupan beragama mengikut lunas-lunas syariat yang telah mereka jalani sebelum ini. Allah SWT mendatangkan kisah para nabi dan rasul serta kisah orang-orang soleh yang terdahulu, kemudian Allah SWT menyebut “Mereka itu orang-orang yang Allah SWT berikan hidayah, maka dengan hidayah yang Allah SWT berikan itu, hendaklah kamu mengambil pedoman”.

Jikalau umat dan insan-insan yang terdahulu pun Allah SWT perintahkan agar kita mengambil pedoman daripada kehidupan mereka, apatah lagi umat Nabi Muhammad SAW, yang melihat Baginda, yang hidup bersama Baginda, mendapat didikan daripada Baginda yang merupakan sebaik-baik umat dalam kalangan umat manusia, maka wajarlah kita menghayati dan mengambil pedoman daripada kisah kehidupan mereka.

Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, 5.15 petang berkongsi kisah Sayyidatina Nasibah Al-Maziniyyah RA atau gelarannya Ummu Umarah. Beliau telah dimuliakan oleh Allah SWT melalui doa Rasulullah SAW kepada beliau yang bermaksud : “Ya Allah, jadikahlah mereka teman-teman rapatku di dalam syurga Allah SWT”. Rasulullah SAW berdoa kepada beliau apabila melihat akan kesungguhan Nasibah bersama keluarganya mempertahankan Baginda. Sehinggakan anaknya ditetak-tetak, lalu Nasibah membalut luka anaknya dan kemudian berkata kepada anaknya agar segera bangkit dan mempertahankan Rasulullah SAW di dalam peperangan Uhud.

Anak Nasibah bercerita, aku menyertai Rasulullah SAW di dalam peperangan Uhud dan di saat semua orang bertebaran ekoran serangan kedua sehinggalah mereka semua jauh daripada Rasulullah SAW. Maka pada saat itulah, ibuku dan ayahku serta beberapa orang Ansar yang boleh mendekati Rasulullah SAW, lalu kami mempertahankan Baginda Rasulullah SAW. Di saat aku mempertahankan Rasulullah SAW dengan melontar batu-batu mengenai kaum musyrikin. Pada saat itu, Rasulullah SAW menoleh ke arah ibuku yang cedera parah sehingga darah mencurah-curah daripada lengan ibuku, lalu Rasulullah SAW berkata kepadaku, “Ibumu, pergi ke arah ibumu dan balutlah lukanya. Moga-moga Allah SWT memberkati kalian sekeluarga”.

Kemudian, Nasibah menoleh ke arah Rasulullah SAW lalu berkata “Berdoalah kepada Allah SWT agar kami menjadi teman rapatmu ya Rasulullah di dalam syurga”. Di dalam dialog itu, Nasibah menyebut perkataan “rafiq” yang bermakna sahabat atau teman yang sangat akrab. Bila tiada, dirindui dan ternanti-nanti. Maka pada ketika itu, Nasibah berkata “Pada saat ini, tidak aku peduli lagi akan apa yang bakal menimpa ku, sesudah aku mendapat doamu Ya Rasulullah”. Maka, Nasibah terus mara menumpaskan musuh yang mendatangi untuk memerangi mereka. Rasulullah SAW berkata “Pada hari Uhud, tidak ku toleh ke kiri mahupun ke kanan kecuali pasti aku melihat Ummu Umarah menghadapi musuh mempertahankanku”.

Ummu Umarah kembali daripada peperangan Uhud dengan gembira yang amat sangat mahupun beliau dikatakan mengalami 12 luka yang sangat dalam. Namun, ia sangat menggembirakan beliau kerana ia menjadi saksi dan bukti di hadapan Allah SWT kelak, bahawa beliau mendapat luka-luka tersebut demi mempertahankan kekasih-Nya, Rasulullah SAW. Bahkan mereka mendapat kelazatan berjihad di jalan Allah SWT bersama dengan Rasulullah SAW. Kelazatan itu membuatkan Ummu Umarah bukan sahaja menyertai peperangan Uhud, bahkan beliau sentiasa mengikuti Rasulullah SAW.

Beliau dikatakan tergolong dalam kalangan mereka yang turut menyertai Perjanjian Hudaibiyah, Bai’atul Ridhuan. Allah SWT merakamkan mengenai orang yang menyertai Bai’atul Ridhuan ini menerusi ayat ke-100 surah at-Taubah yang bermaksud : Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang \”Muhajirin\” dan \”Ansar\”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.

Ini satu janji yang besar, mendapat redha Allah SWT. Begitu besar perjuangan para sahabat yang berada bersama dengan Rasulullah SAW. Moga-moga bakti kita yang sedikit demi mempertahankan agama Allah SWT ini juga dipandang oleh-Nya dan agar kita juga dapat menjadi teman Rasulullah SAW di dalam syurga kelak.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 Januari 2017
\"2017-01-10\"
Scroll to Top