PROF. Madya Dr. Khalif Muammar A.Harris, Pensyarah Pusat Pengajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS-UTM) dalam rancangan Tarbiyyah pada hari Jumaat jam 10.15 pagi radio IKIMfm menyebut tentang tujuan pendidikan itu ialah bagi melahirkan insan yang baik yang akan melahirkan pemimpin yang baik. Imam al-Ghazali mengungkapkan dalam kitabnya yang mahsyur Ihya Ulumiddin dengan kata-kata “rosaknya rakyat itu disebabkan oleh kerana rosaknya pemimpin dan rosaknya pemimpin itu pula kerana rosaknya para ulamanya. Ulama pun boleh rosak dan dalam hal ini Imam al-Ghazali menggelarkan mereka ini sebagai ulama su’ atau ulama jahat. Akibat daripada ulama jahat ini seterusnya membawa kepada melahirkan pemimpin yang rosak. Dalam satu hadith Baginda SAW menyebut “Sesungguhnya agama rakyat itu bergantung kepada pemimpinnya” Namun ramai yang melihat bagi melahirkan pemimpin yang baik hanya melalui kaedah pilihanraya atau saluran demokrasi. Walhal demokrasi itu bukanlah kaedah terbaik bagi melahirkan pemimpin yang baik. Berapa banyak negara yang mengamalkan sistem demokrasi namun gagal melahirkan pemimpin yang baik. Demokrasi itu penting dan mustahak dalam memilih pemimpin dan perubahan tampuk kepimpinan secara aman dan harmoni tetapi ia bukanlah kaedah terbaik bagi melahirkan pemimpin yang sebenar, yang terbaik.
Kaedah melahirkan pemimpin yang baik hanya dapat dicapai melalui pendidikan kerana melalui sistem pendidikanlah akan mampu melahirkan pemimpin yang baik. Tidak memadai dengan berbangga dengan kewujudan sistem pendidikan Islam sahaja, tetapi sistem pendidikan Islam itu sendiri mestilah sistem pendidikan yang terbaik bagi melahirkan insan yang baik.
Pemimpin itu adalah ikutan rakyat sepertimana bapa itu ikutan kepada anak-anak sepertimana kata-kata yang sering kita dengari “ayah borek anak rintik”. Ada kata-kata lain yang berbunyi bahawa masyarakat yang rosak akan melahirkan pemimpin yang rosak. Pemimpin yang rosak ini boleh dilihat dari segi pemikiran yang rosak dan keliru. Sebagai contoh pemimpin yang suka memerintah dengan ketakutan, dengan cemeti merupakan pendekatan pemimpin yang rosak pemikirannya. Raja Ali Haji pernah menyebut bahawa bagi untuk melahirkan pemimpin politik yang baik, tidak dapat tidak orang politik itu perlu mendalami ilmu agama khususnya ilmu tasawuf. Namun malangnya hari ini masyarakat gagal memahami kenapa ilmu tasawuf itu penting dalam politik, siyasah dan ketatanegaraan. Mereka gagal melihat bahawa pendidikan akhlak dan moral yang dianjurkan melalui ajaran tasawuf itu akan mampu membentuk seseorang itu menjadi pemimpin yang baik dan berkualiti.
Raja Ali Haji merupakan antara ulama nusantara silam yang mengkaji karya-karya Imam al-Ghazali dan memahami bahawa peri pentingnya dalam membentuk manusia yang baik. Dan beliau melihat bahawa membentuk manusia yang baik itu ialah melalui pembentukan hati seperti mana sabda Baginda SAW “Sesungguhnya dalam jasad anak Adam itu ada segumpal darah, apabila baik darah itu baiklah seluruh jasadnya, apabila rosak maka rosaklah seluruhnya, ketahuilah itu ialah hati”. (HR Bukhari & Muslim)
Ilmu tasawuf bukan sekadar mengkaji penyakit-penyakit hati sahaja, tetapi juga turut mengkaji cara untuk mengubati penyakit-penyakit ini sepertimana anjuran al-Qur’an dan al-Sunnah. Di sinilah perlu kepada perjuangan melawan nafsu sendiri atau disebut sebagai “mujahadah al-nafs”. Aspek penyakit hati ini kini dalam masyarakat kita sering diabaikan dan apabila kita berdepan dengan masalah, kita sering melihat kepada luaran tetapi tidak melihat kepada akar penyakit ini iaitu pada hati individu berkenaan. Kita tidak akam mampu melahirkan insan yang baik dan seterusnya pemimpin-pemimpin yang baik jika penyakit-penyakit hati tidak ubati. Tiga kualiti misalnya yang digariskan oleh Raja Ali Haji perlu ada pada seseorang pemimpin iaitu pertama, pemimpin mestilah orang yang sihat akal fikirannya dan memiliki ilmu yang benar dan pandangan hidup Islam yang jelas. Ramai yang menjadi pemimpin tanpa persiapan dan tanpa memiliki ilmu yang benar. Pemimpin itu mesti mempunyai kasih sayang terhadap rakyatnya bukannya pemimpin yang ingin digeruni. Tanda pemimpin itu adil itu ialah apabila harimau dengan kambing boleh sepermainan. Ini adalah lambangan apabila orang yang lemah tidak merasa takut dengan orang yang kuat. Tanda pemimpin itu zalim pula, ialah apabila anak dan bapa itu saling berbunuhan. Ini banyak berlaku pada hari ini. Kedua, pemimpin baik hendaklah sentiasa mendengar keluhan rakyat dan prihatin dengan nasib rakyat. Ketiga, pemimpin yang baik mestilah seorang yang memiliki integriti yang tinggi tanpa mengira kaum kerabat sendiri.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 6 Januari 2017