Saat Diri Diuji (Bahagian Akhir)

BILA sahaja Allah SWT menguji seseorang, itu adalah panggilan kepada manusia untuk mendekatkan lagi kepada-Nya. Sekiranya ujian yang datang penuh dengan kepedihan dan kesakitan beringatlah sentiasa bahawa itu adalah satu gamitan serta panggilan dari Allah SWT yang menjadikan kita tidak tersasar dari landasan Islam. Oleh yang demikian, jika kita mendekatkan diri kepada Allah SWT, maka disitulah terdapatnya kekuatan, ketenangan dan jalan penyelesaian yang disediakan oleh-Nya. Membincangkan topik ‘Saat Diri Diuji (Bahagian Akhir)’, Ustaz Pahrol Mohd Juoi masih berkongsi pengisian topik tersebut bersama para pendengar pada hari Rabu jam 10.15 pagi yang lalu dalam rancangan ‘Islam Itu Indah’ di IKIMfm.

Bersangka baik, bermuhasabah dan bertaubat kepada Allah SWT merupakan perkara utama yang perlu dilaksanakan apabila menerima ujian. Walaupun kita mengetahui ujian yang hadir itu tidak melebihi kemampuan kita namun saat menerima ujian itu maka carilah pertolongan dan mengadulah kepada Allah SWT. Bersegeralah kembali meminta bantuan kepada Allah SWT dan janganlah kita hanya mengadu kepada manusia sahaja. Ujian-ujian tersebut datang dari Allah SWT maka hanya Dia sahaja yang mampu memberikan bantuan dan penyelesaian buat kita.

Allah SWT telah menegaskan perkara itu dalam surah Yunus ayat 107 yang bermaksud, “Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah SWT melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”.

Dalam memastikan mendapat bantuan dari Allah SWT, kita perlulah menahan dan mengelak dari melakukan perkara yang tidak disukai-Nya. Janganlah sampai mengutuk, mengecam, marah-memarahi, mengeluh, meratap apabila menghadapi ujian tersebut. Hal ini termasuklah luahan tentang ujian dan masalah itu menerusi media sosial. Ianya tidak mendatangkan apa-apa solusi malah membuatkan lebih besar masalah tersebut diketahui oleh orang lain serta menyebarkan perkara buruk yang tidak perlu dihebohkan. Hanya sementara sahaja kita dapat melepaskan geram dan keluhan dari masalah tersebut tetapi hakikat sebenarnya kita perlu menghadapi masalah lebih besar dan berpanjangan.

Rasulullah SAW juga mengajar umatnya supaya berdoa apabila menghadapi ujian. Perkara tersebut dapat dilihat ketika kematian Abu Salam yang merupakan suami kepada Ummu Salamah yang sangat baik, disayangi, dihormati serta merupakan antara orang yang terawal memeluk Islam. Dengan ujian musibah yang menimpa Ummu Salamah itu, Rasulullah SAW mengajarnya satu doa iaitu Inna lillahi wa inna ilayhi raji\’un. Sebagai hamba yang lemah, kita tidak mempunyai kuasa mahupun kekuatan melainkan daripada bantuan pertolongan dari Allah SWT kerana penawar ujian itu ada pada-Nya.

Doa yang dipohon kepada Allah SWT hendaklah diminta dengan sesungguhnya bersama hati yang berserah kepada-Nya. Mesej doa tersebut diceritakan dalam surah Al-Baqarah ayat 156 dan 157 yang bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: \”Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.\” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Pertolongan, petunjuk dan hidayah yang dipohon kepada Allah SWT ketika kita menghadapi ujian datang menerusi tiga kaedah. Kaedah pertolongan yang pertama datang dari Allah SWT ialah melalui jalan yang tidak disangka-sangka. Kita berusaha untuk tempuhi ujian itu melalui cara lain namun bantuan Allah SWT datang melalui cara lain yang tidak dijangka. Sebagai contoh kita dapat lihat menerusi peperangan khandak dimana Rasulullah SAW dan para sahabat menggali parit yang panjang dan dalam pada musim yang dingin dalam keadaan kelaparan.

Namun begitu, persediaan Rasulullah SAW dan sahabat membuat parit tersebut bagi menghadapi peperangan bukanlah penyebab kepada orang-orang Islam menang dalam peperangan khandak itu. Bantuan yang tidak dijangka dihantar dari Allah SWT adalah menerusi angin ribut yang membantu tentera Islam menghacurkan musuh-musuh mereka dalam peperangan itu. Kehebatan ujian dan bantuan dari Allah SWT dalam kisah tersebut tidaklah seperti liku-liku kehidupan kita pada ketika ini. Oleh itu, pengajaran yang penting dalam tersebut adalah berdoa dan berikhtiarlah disetiap ujian yang dihadapi. Berusahalah dengan sebaiknya dan jangan kita hanya menanti perkara yang tidak disangka itu sahaja tanpa kita berikhtiar.

Pertolongan Allah SWT yang kedua adalah menerusi kaedah bantuan yang logik dimana ia mempunyai hikmah disebalik bantuan tersebut. Sebagai contoh, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menceritakan ketika mendapat ujian kesakitan, kita semestinya akan berjumpa dengan doktor perubatan untuk mendapatkan rawatan dan mengambil penawar dari ubatan. Diatas sebab ujian kesakitan itu kita telah berikhtiar untuk berjumpa doktor sebagai usaha menyembuhkan penyakit. Berdasarkan kaedah logik dan jalan penyelesaian itu, Allah SWT menghantar pertolongan dengan menetapkan pertemuan dengan doktor yang betul-betul mahir untuk memberi rawatan kesakitan itu dan merupakan doktor yang baik kepada kita.

Kaedah pertolongan yang ketiga adalah diberi kekuatan iman oleh Allah SWT menyebabkan kita dapat menghadapi ujian tersebut lebih baik. Misalnya ketika menghadapi kesakitan, Allah SWT memberikan kekuatan iman untuk kita terus mengharungi kesakitan yang perit malah kadang-kadang mengambil masa yang sangat lama untuk sembuh. Allah SWT kebalkan hati sehingga kita merasakan ujian itu tidak memberi apa-apa kesan. Oleh yang demikian, berpegang teguhlah pada tali Allah SWT diatas kehebatan-Nya yang boleh menguatkan hati dan iman kita kerana ia lebih indah daripada hidup yang mudah.

Allah SWT menguji kita dengan pelbagai keadaan dan ujian. Apajua rintangan dan kesakitan dari ujian itu tetap menjadikan kehidupan ini perlu diteruskan dan tidak akan terkecuali daripada menghadapi masalah yang akan mendatang dari semasa ke semasa. Oleh itu, tidak salah jika kita meminta hidup yang mudah dari Allah SWT. Tetapi lebih indah sekiranya kita meminta hati yang tabah kerana dengan cara itulah kita dapat menempuh apa sahaja ujian yang datang untuk dilalui dengan penuh manfaat hikmah. Laksanakanlah perkara-perkara yang disukai oleh Allah SWT serta jangan sesekali meninggalkan solat diringin juga dengan ibadah sunat yang lain. Semoga hati kita terus tabah dalam menghadapi ujian untuk berada dalam rahmat Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 November 2016
WhatsApp
Scroll to Top