Bencikan Dosa, Sayang Pendosa

SEBAGAI individu yang bersaksi bahawa Allah SWT, Tuhan Yang Esa dan Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah, maka kita tidak terlepas daripada tanggungjawab dan peranan sebagai seorang pendakwah.  Menggalas tanggungjawab sebagai pendakwah, yang paking penting adalah kita memiliki sifat sabar agar kita tidak mudah melatah apabila setiap apa yang kita sampaikan tidak diterima oleh sesetengah pihak. Ruang yang ada harus kita gunakan agar kita benar-benar dapat menghayati mesej yang ingin kita sampaikan berbanding respon manusia terhadap apa yang kita sampaikan.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman,  melalui segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm hari Isnin lalu berkongsi mengenai ayat al-Quran surah al-Insaan, ayat 23 & 24 yang bermaksud : Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al Quran kepadamu (Muhammad) secara beransur-ansur. Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah engkau ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka.

Ustaz Muhammad Syaari berkongsi mengenai tajuk “Benci Dosa, Sayang Pendosa”. Kita perlu ada sikap benci kepada dosa yang dilakukan oleh pendosa. Namun, jangan sampai bencikan dosa itu terbawa-bawa sehingga kita turut membenci si pendosa itu. Islam adalah agama kasih sayang. Kita mesti memandang dengan sangka baik kepada sesiapa sahaja. Benci akan dosa dan kita dekatilah pendosa itu agar dapat kita berdakwah kepada mereka. Ada satu perkara yang boleh kita pelajari daripada Rasulullah SAW mengenai perkara ini.

Ketika turunnya ayat yang dibacakan oleh ustaz itu tadi, Rasulullah SAW telah 10 tahun mengajar dan berdakwah kepada kaum musyrikin. Pelbagai cara telah Rasulullah SAW gunakan ketika berdakwah kepada kafir Quraisy. Lalu, Allah SWT menurunkan ayat ini memberitahu al-Quran itu diturunkan secara berperingkat-peringkat agar Rasulullah SAW mempunyai masa untuk menyampaikan dakwah tanpa terkejar-kejar. Ini hikmah yang pertama.

Manfaat kedua diturunkan al-Quran secara perlahan-lahan agar Rasulullah SAW dapat menghayati apa yang ingin disampaikan. Hikmahnya, apabila apa yang hendak kita sampaikan itu tidak mahu didengar, maka tetap teruskan usaha dakwah dan penyampaian itu kerana kita tetap menerima manfaat daripada apa yang kita sampaikan. Kita juga dapat menghayati setiap butir dakwah yang kita sampaikan. Jadikan ujian mereka yang tidak mahu mendengar sebagai satu peluang untuk kita menghayati betapa hebatnya al-Quran yang kita sampaikan. Jangan kita menilai apa yang kita sampaikan dengan penerimaan manusia kepada kita. Paling penting adalah kita benar-benar menghayati setiap ayat yang kita sampaikan.

Apabila kita perlahan-lahan menghayati dan menyampaikan ayat-ayat Allah SWT ini, maka kita akan temui sifat sabar. Itulah yang diajarkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW melalui ayat 34 surah al-Insan, agar Rasulullah SAW bersabar dan berfikiran positif dengan ketetapan dan ketentuan Allah SWT menempatkan Baginda kepada kaum kafir Quraisy.

Allah SWT juga turut menyebut agar jangan terkesan dengn apa yang orang-orang Quraisy mahu lakukan. Ertinya sebagai seorang pendakwah, jangan emosi dengan kerenah mad’u kita. Kita perlu sentiasa tenang menyampaikan dakwah. Apabila kita tenang dalam menyampaikan al-Quran, maka kita tidak akan emosional terhadap tindakbalas orang kepada apa yang kita sampaikan. Kita akan mampu bersabar dan bersangka baik dengan segala ketentuan Allah SWT.

Allah SWT hendak mengajar Rasulullah SAW melalui surah al-Insan  agar tidak emosional kepada apa yang berlaku di sekeliling. Sikap emosional ini tidak mampu mengubah apa-apa. Jadikan musibah yang menimpa kepada orang yang tidak suka akan dakwah kita sebagai asbab untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apa yang penting adalah usaha kita dalam menyebarkan dakwah dan bukan hasil daripada dakwah yang kita lakukan. Sebaliknya, serahkan setiap hasil dakwah kita kepada ketentuan dan takdir Allah SWT dan bersangka baik dengan segala perancangan Allah SWT.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 29 November 2016
Scroll to Top